Skip to main content

Malaysia

Guardiola akui kemesraan rumah tangga semakin pudar

81732499302_PepGuardiola.jpg
Pep Guardiola berkongsi mengenai masalah peribadi yang dihadapinya pada tahun-tahun terakhir bersama Manchester City. - Gambar fail
Advertisement

LONDON: Pep Guardiola mendedahkan kemesraan antara beliau dan isterinya semakin pudar ketika berkongsi mengenai masalah peribadi yang dihadapinya pada tahun-tahun terakhir bersama Manchester City, lapor PA Media/dpa.

Pengendali dari Sepanyol itu, yang melepaskan jawatan sebagai pengurus City pada penghujung musim lalu, mengharungi 10 tahun penuh kejayaan di Stadium Etihad, namun kejayaan itu turut menuntut pengorbanan.

Perkahwinannya dengan Cristina Serra berakhir pada 2024 dan meskipun beliau tidak pernah membincangkan perpisahan itu secara terbuka, Guardiola memberi gambaran mengenai kesannya terhadap dirinya menerusi luahan penuh emosi di bilik persalinan.

Adegan selepas kekalahan 0-2 kepada Juventus dalam Liga Juara-Juara itu dipaparkan dalam dokumentari baharu Amazon Prime, A Beautiful Obsession.

Ia merupakan kekalahan ketujuh City dalam 10 perlawanan, dengan pasukan itu hanya mencatat satu kemenangan sepanjang tempoh berkenaan, menyebabkan Guardiola berang.

"Saya mahu mengaku sesuatu kepada kamu semua, saya sudah bercerai dengan wanita paling cantik di dunia," katanya.

"Dia isteri saya, bekas isteri saya. Saya amat menyayanginya, tetapi kemesraan antara kami semakin pudar. Atas pelbagai sebab, kemesraan itu semakin pudar. Adakah saya menyayanginya? Ya, sudah tentu. Adakah dia menyayangi saya? Ya, tetapi kemesraan antara kami semakin pudar.

"Bagaimana kamu bermain bola sepak? Adakah kerana kamu dibayar atau kerana ada sesuatu dalam diri kamu? Di mana semangat itu?

"Dalam hidup, apa sahaja yang kamu lakukan, lakukannya dengan penuh semangat. Saya tidak mahu pemain yang sekadar bagus. Saya mahukan pemain yang mempunyai semangat."

Guardiola dilaporkan menolak peluang untuk membimbing skuad kebangsaan Itali pada musim panas. Beliau memberi bayangan dalam dokumentari itu bahawa tidak terburu-buru untuk kembali dalam bidang kejurulatihan.

"Saya sendiri tidak tahu apa yang akan saya lakukan," katanya dalam satu temu bual. "Sejujurnya, saya tidak tahu. Tetapi sudah tentu sukar untuk kembali. Itulah yang saya rasakan sekarang.

"Sukar untuk kembali. Saya perlu menyegarkan semula banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan peribadi dan kerjaya saya. Saya perlu mencari semula diri saya menerusi perkara lain.

“Ada satu perkataan dalam bahasa Catalan - badar, iaitu sekadar duduk diam dan membiarkan diri berehat. Jadi, itulah yang mahu saya lakukan. Itu antara perkara utama yang mahu saya lakukan.”

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement