SEPANG: Pemain tengah Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala ASEAN 2026.
Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyifatkan panggilan pertama ke skuad kebangsaan selepas hampir tujuh tahun menunggu itu sebagai impian yang menjadi kenyataan dan bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan mempamerkan prestasi cemerlang bersama pasukan negara.
“Sudah lama saya menantikan detik ini. Saya rasa saya tidak berhenti tersenyum sejak berada di sini. Ia satu perasaan yang sangat hebat dapat mewakili negara dan saya tidak sabar untuk memulakannya… mudah-mudahan saya akan membuat penampilan pertama dalam beberapa hari lagi.
“Saya bersedia untuk mempamerkan persembahan terbaik, membuktikan kepada negara dan bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada diri saya sendiri apa yang telah lama saya nantikan untuk lakukan selama ini. Mereka pasti boleh menjangkakan perkara-perkara yang baik,” katanya.
Pemain Sporting JAX itu berkata demikian sebelum berlepas ke Yangon bagi menghadapi perlawanan pertama Malaysia pada kempen Piala ASEAN 2026 menentang Myanmar di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Walaupun Harimau Malaya kehilangan beberapa pemain utama bagi menghadapi kempen itu, Wan Kuzain yakin skuad semasa mempunyai gabungan yang seimbang antara pemain berpengalaman dan pemain muda, sekali gus memberikan asas kukuh kepada pasukan untuk bersaing dalam kejohanan serantau itu.
Mengimbas proses pembentukan kerjaya bola sepaknya di Amerika Syarikat, pemain berusia 27 tahun itu berkata beliau berharap untuk membawa mentaliti tidak mudah berputus asa ke dalam pasukan kebangsaan kerana percaya setiap perlawanan memberikan peluang tanpa mengira siapa lawan yang dihadapi.
Beliau turut mengimbau kekecewaan terlepas peluang beraksi pada Sukan SEA 2019 akibat masalah dokumentasi, yang disifatkannya sebagai detik sukar dalam kerjaya bola sepaknya sebelum ini.
“Tidak dapat mewakili negara sedangkan saya rasa saya mampu melakukannya, sememangnya sesuatu yang sukar tetapi semuanya bergantung kepada masa dan jika sekarang adalah masa saya, maka marilah kita jadikannya masa yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Wan Kuzain berkata beliau pernah menerima tawaran daripada kelab-kelab Malaysia sebelum ini, namun ketika ini gembira untuk meneruskan kariernya di Amerika Syarikat.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada masa hadapan sekiranya menerima tawaran yang sesuai.
Sementara itu, pemain Negeri Sembilan FC Azri Ghani mengakui persaingan untuk merebut posisi penjaga gol utama Harimau Malaya bersama dua lagi penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dan Haziq Aiman Esa berlangsung secara sihat, sambil menegaskan sesiapa yang dipilih perlu memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin demi kepentingan pasukan.
Walaupun tidak mengetahui siapa yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Myanmar, pemain berusia 27 tahun itu berkata beliau bersedia memberikan yang terbaik sekiranya diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu dan berharap dapat membantu skuad kebangsaan memulakan kempen dengan kemenangan.
Azri turut menyeru rakan sepasukannya supaya memberikan segala yang termampu di atas padang ketika menentang Myanmar, sambil memberitahu persembahan mantap secara berpasukan akan membolehkan anak buah Tan Cheng Hoe meraih tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan itu.
Selain Myanmar, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Thailand dan Filipina.
Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.
Piala ASEAN 2026 akan berlangsung bermula esok hingga 26 Ogos.
-- BERNAMA