SUNGAI PETANI: Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi tidak boleh terhenti susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya baru-baru ini.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan berkenaan dan akan meneliti langkah susulan terbaik untuk dilaksanakan.
Advertisement
Beliau turut berharap agar sokongan daripada peminat-peminat bola sepak tidak luntur selain akan merencana pelan terbaik untuk memastikan sukan berkenaan terus bergerak ke hadapan.
"Yang pasti, program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi perlu diteruskan, tidak boleh terhenti di sini. Semangat kita perlu diteruskan. Program seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kita teruskan.
"Kita akan bekerjasama rapat dengan rakan strategik kita Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Majlis Sukan Negara mengambil tanggungjawab untuk memastikan NFDP akan terus melahirkan lebih ramai atlet di peringkat akar umbi.
"Jadi, proses undang-undang sudah pun berjalan, dan kita menerima keputusannya," katanya kepada media selepas Majlis Iftar Ramadan Madani Peringkat Negeri Kedah di Masjid Al Ikhlas, Tikam Batu, dekat sini, malam tadi.
Pada Khamis, CAS membuat keputusan untuk mengekalkan penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa selama 12 bulan ke atas tujuh pemain Harimau Malaya kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Tomás Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq berkata, kementeriannya (KBS) akan memperluas usaha terhadap sukan-sukan yang berpotensi untuk menghadirkan emas pertama negara terutamanya melibatkan Program Road To Gold.
Katanya, beliau berbangga dengan beberapa pencapaian besar di peringkat antarabangsa terutamanya menerusi pelumba trek berpengalaman Datuk Azizulhasni Awang, pasangan beregu badminton serta skuad hoki lelaki.
"Syabas dan tahniah, kita akan terus memberikan dorongan, sokongan dan juga kerjasama untuk membangunkan lagi sukan-sukan dalam negara kita.
"Tahniah juga untuk atlet beregu badminton negara serta kepada 'The Pocket Rocketman'. Ini suatu pencapaian yang luar biasa dalam bulan Ramadan. Semua atlet bertungkus-lumus dan ia bukan suatu perkara yang mudah, tahniah," katanya.
Terdahulu, Azizulhasni menghadiahkan pingat emas acara keirin pada siri pembukaan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth.
Selain itu, Aaron Chia–Soh Wooi Yik mengakhiri cabaran sebagai Naib Juara beregu lelaki Kejohanan Badminton All England.
Skuad hoki lelaki negara pula berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 walaupun tewas 4-5 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir.