Skip to main content

Sukan

Izzat Shameer tidak anggap tempat ke Glasgow 2026 sudah terjamin

KUALA LUMPUR, 18 Feb -- Aksi pemain negara Izzat Shameer Dzulkeple ketika menentang pemain New Zealand Shannon Mcilroy dalam kategori lelaki perseorangan pada perlawanan akhir Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini.  Malaysia menewaskan New Zealand dengan keputusan tie-break 3-0.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Izzat berkata proses pemilihan masih berjalan dan beliau enggan terlalu selesa walaupun mempamerkan aksi konsisten dalam kejohanan.

KUALA LUMPUR: Atlet boling padang negara Izzat Shameer Dzulkeple tidak menganggap kejayaannya pada Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 sebagai tiket automatik untuk menempah slot ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Beliau yang pernah merangkul beberapa emas di Kejohanan Boling Padang Asia dan Sukan SEA itu berkata proses pemilihan masih berjalan dan beliau enggan terlalu selesa walaupun mempamerkan aksi konsisten dalam kejohanan jemputan di laman sendiri itu, bulan lepas.

Advertisement

“Saya akan cuba beri aksi terbaik sampai nama betul-betul sah (tersenarai). Sekarang masih dalam proses pemilihan, jadi penting untuk saya kekalkan persembahan,” kata bekas pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu ketika ditemui baru-baru ini.

Pada Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 di Bukit Kiara, di sini, Izzat Shameer melengkapkan kejayaan Malaysia menyapu bersih kesemua empat acara selepas menewaskan Shannon McIlroy dari New Zealand Silver 2-1 dalam final singles lelaki.

Sementara itu, pemenang gangsa singles lelaki Piala Dunia 2025 itu menyifatkan kehadiran padang boling padang mudah alih di Bukit Kiara yang mula digunakan beberapa bulan lepas sebagai pemangkin peningkatan prestasi pemain negara.

Beliau berkata kemudahan baharu itu antara yang terbaik di Asia serta setanding dengan fasiliti di Australia dan United Kingdom sekali gus memberi kelebihan dalam membuat persiapan lebih rapi menjelang Glasgow 2026.

“Saya ada peluang untuk berlatih dengan lebih baik dan beri yang terbaik untuk Sukan Komanwel kali ini,” katanya yang bakal membuat penampilan kedua selepas edisi Birmingham 2022.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, mempertandingkan 10 jenis sukan termasuk sukan para antaranya renang, boling padang, olahraga, angkat berat, berbasikal trek, powerlifting dan bola keranjang kerusi roda 3x3.

Di Glasgow, boling padang menawarkan empat pingat emas menerusi acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas boling padang temasya itu ialah pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia menerusi gandingan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji dalam acara pairs wanita.

-- BERNAMA

Must Watch Video