ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 37 warga asing di perairan Kuala Muda semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi pada 5.30 pagi di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Sayak itu dilaksanakan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang.
Advertisement
Beliau berkata bot ronda APMM dan PPM berjaya mengesan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang disyaki membawa masuk pendatang tanpa izin dari arah Yan menuju ke daratan berhampiran Pulau Sayak.
“Sejurus menyedari pasukan penguat kuasa, bot berkenaan bertindak merapat ke pesisiran pantai Pulau Sayak sebelum kesemua (penumpang dan kru) cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Namun, tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan 37 individu terdiri daripada 32 warga Myanmar, tiga warga Bangladesh serta dua lelaki Thailand yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Romli berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 36 lelaki dewasa berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Beliau berkata tiga kenderaan terdiri daripada dua buah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) turut ditemukan dalam operasi itu, disyaki untuk membawa keluar pendatang tanpa izin berkenaan dari lokasi pendaratan.
"Siasatan mendapati mereka menggunakan jalan darat di negara jiran sebelum menaiki bot di Tanyong Po, Satun, Thailand untuk ke Malaysia sebelum dikesan menghampiri Pulau Sayak.
"Kita dapati ada yang ditahan pernah berada di negara ini selama 10 tahun dan fasih berbahasa Melayu," katanya.
Romli berkata semua tahanan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
-- BERNAMA