Skip to main content

Malaysia

KBS bentang penilaian kebolehlaksanaan F1 kepada Kabinet Disember ini – Mohammed Taufiq

Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari ketika Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - foto/BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari ketika Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. - foto/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Belia dan Sukan akan membentangkan penilaian kebolehlaksanaan penganjuran tetap Formula 1 di Malaysia pada Disember ini.
  • Penilaian melibatkan impak ekonomi, kos, pulangan pelaburan dan keberkesanan, dengan perbincangan masih berjalan di peringkat jawatankuasa.
  • Penganjuran GP Bahrain 2026 di Sepang mencatat rekod kehadiran, namun perancangan jangka panjang diperlukan untuk Malaysia kembali ke kalendar tetap F1.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka membentangkan penilaian kebolehlaksanaan penganjuran Formula 1 (F1) secara tetap di Malaysia pada Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penilaian berkenaan sedang dilakukan sebuah jawatankuasa dengan mengambil kira bukan sahaja limpahan ekonomi dan impak positif kepada negara, malah kos serta tahap keberkesanan penganjuran.

“Perbincangan itu masih berjalan kerana kita perlu juga melihat selain daripada limpahan ekonomi dan impak positif untuk rakyat Malaysia. Kita juga perlu lihat implikasinya dari segi kewangan, pulangan pelaburan dan sebagainya.

“Kita sedang menilai kadar keberkesanan dan kebolehlaksanaan tersebut di dalam satu jawatankuasa. Pada Disember ini, kita akan bentangkan kemaskini di dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Mohammed Taufiq berkata kerajaan melihat potensi limpahan ekonomi daripada F1 termasuk kepada sektor pelancongan, penginapan serta perniagaan tempatan, namun faktor berkenaan perlu diseimbangkan dengan komitmen kewangan dan pulangan yang mampu diperoleh negara.

Perbincangan mengenai masa depan F1 di Malaysia kembali mendapat perhatian selepas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi lokasi penganjuran F1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 dari 2 hingga 4 Oktober lalu.

Penganjuran khas itu terhasil menerusi persetujuan antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kerajaan Malaysia dan kerajaan Bahrain.  

Perlumbaan berkenaan pada asalnya dijadual berlangsung di Bahrain pada April tetapi dipindahkan susulan keadaan geopolitik di Asia Barat, sekali gus membawa F1 kembali ke Sepang buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.  

Sambutan terhadap perlumbaan itu turut mencatat rekod apabila 261,000 penonton hadir sepanjang tiga hari penganjuran, termasuk 103,000 penonton pada hari perlumbaan. 

Angka itu menjadi rekod kehadiran tertinggi bagi sebuah acara di SIC, mengatasi rekod 126,690 penonton yang dicatat ketika GP Malaysia 2008.  

Malaysia sebelum ini menjadi sebahagian daripada kalendar tetap F1 menerusi GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017, sebelum penganjurannya dihentikan selepas hampir dua dekad. Perlumbaan terakhir GP Malaysia pada 2017 dimenangi Max Verstappen.  

Prospek Malaysia kembali secara tetap bagaimanapun memerlukan perancangan jangka panjang. 

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem pada Ahad berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya pelan perniagaan lima tahun yang merangkumi pembiayaan, promosi dan logistik sekiranya mahu kembali ke kalendar F1 secara kekal.  

Justeru, penilaian KBS yang dijangka dibentangkan pada Disember bakal menjadi antara petunjuk penting sama ada kejayaan penganjuran GP Bahrain 2026 boleh diterjemahkan kepada model yang berdaya maju untuk membawa kembali perlumbaan F1 ke Malaysia secara lebih konsisten. 

 

Must Watch Video

Advertisement