GEORGE TOWN: Lebih 1,000 peminat bola sepak membanjiri kawasan Padang Kota di sini bagi menyaksikan final kedua Piala Cabaran 2025/2026 antara Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas, Sabah menerusi tayangan skrin besar malam tadi.
Aksi timbal balik itu berlangsung selepas perlawanan akhir pertama di Stadium Bandaraya di sini pada awal April lepas berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
Advertisement
Program yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai Heng Hua.
Mordi yang ditemui berkata tayangan skrin besar itu dianjurkan oleh MSNPP dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai inisiatif untuk menghimpunkan komuniti setempat selain memberi peluang kepada penyokong menonton perlawanan bola sepak secara beramai-ramai dalam suasana penuh semangat.
Beliau berkata program itu mampu mengeratkan perpaduan dan memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah serta sokongan terhadap bola sepak.
“Menurut penganjur, lebih 1,000 penyokong membanjiri kawasan Padang Kota bagi bersama-sama menonton menerusi skrin besar untuk memberi sokongan kepada Penang FC,” katanya.
BACA: Sabah FC juara Piala Cabaran, tewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti
Seorang pengunjung Mohamad Rozaini Mohd Ramli, 35, berkata beliau mengambil peluang membawa isteri dan dua anaknya untuk bersama-sama menonton perlawanan akhir kedua itu.
Mohamad Rozaini berkata selalunya beliau hanya membawa anak lelaki sulung berusia lapan tahun ke Stadium Bandaraya untuk menyaksikan perlawanan melibatkan Penang FC namun malam ini membawa semua ahli keluarganya.
“Keadaan cuaca yang berangin dan kawasan luas di Padang Kota memberikan suasana yang menarik untuk kami menonton perlawanan akhir malam ini seperti berada di stadium namun lebih santai,” katanya yang bekerja sebagai juruelektrik kilang.
Orang ramai yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk keluarga, golongan belia dan pelancong, sekali gus mencerminkan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak.
Sorakan gemuruh penyokong Penang FC yang memenuhi kawasan tayangan menjadikan suasana seolah-olah berada di dalam stadium sebenar.
-- BERNAMA