Skip to main content

Malaysia

Liga Super: JDT catat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC

MELAKA, 28 April -- Pemain-pemain JDT FC cuba menanduk bola hantaran lintang sambil dipertahankan pemain-pemain Melaka FC pada perlawanan Bola Sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong hari ini.  Keputusan semasa Melaka FC 1-2 JDT FC.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain-pemain JDT FC cuba menanduk bola hantaran lintang sambil dipertahankan pemain-pemain Melaka FC pada perlawanan Bola Sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong pada Selasa. Keputusan semasa Melaka FC 1-2 JDT FC. - Gambar Bernama

MELAKA: Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang tiga mata berharga selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, malam tadi.

Pasukan pelawat berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-44 menerusi pemain gantian Ager Aketxe Barrutia selepas rembatan deras dari jarak jauh menerjah gawang lawan hasil hantaran Muhammad Syahmi Safari.

Advertisement

JDT terus menambah jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi Marcos Guilherme hasil hantaran Natxo Insa untuk meletakkan pasukan pelawat selesa mendahului 2-0.

Terdahulu, pasukan tuan rumah cuba menjaringkan gol pertama menerusi Aaron Kumar pada minit ke-19 namun dibatalkan kerana Mahali Jasuli berada di kedudukan ofsaid.

Bersambung pada babak kedua, Melaka FC hampir merapatkan kedudukan menerusi jaringan Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem pada minit ke-47, namun gol itu dibatalkan pengadil Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman selepas pemain berkenaan didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Pasukan tuan rumah yang tidak berputus asa merancakkan serangan dan berhasil memperoleh gol pada minit ke-73 menerusi Dino Kalesic yang menyempurnakan hantaran Kwangil Pak.

Bagaimanapun keputusan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan JDT membawa pulang tiga mata penuh manakala Melaka FC terpaksa akur dengan kekalahan di laman sendiri.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video