Skip to main content

Malaysia

Malaysia Marathon 2026 buka tirai dengan pelepasan acara 42km

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Para peserta acara kategori tumpuan 42 kilometer (km) Marathon Penuh sebelum memulakan larian pada Malaysia Marathon 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di perkarangan Pavilion Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Para peserta acara kategori tumpuan 42km Marathon Penuh sebelum memulakan larian pada Malaysia Marathon 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di perkarangan Pavilion Kuala Lumpur, tengah malam tadi. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Marathon 2026 membuka tirainya tengah malam tadi dengan acara pelepasan kategori 42 kilometer (km) Maraton Penuh, yang menghimpunkan 2,000 pelari elit dan amatur bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Acara pelepasan disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di pekarangan Pavilion Kuala Lumpur di sini. 

Kategori Maraton Penuh itu bermula pada 12.30 tengah malam, diikuti 21 km Separuh Maraton pada 2 pagi yang melibatkan 8,000 peserta.

Penganjuran julung-julung kali itu turut menampilkan kelainan apabila pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dipilih sebagai garisan penamat bagi kesemua kategori, menggantikan lokasi yang menjadi kelaziman, iaitu Dataran Merdeka.

Selain itu, kategori 10 km dijadual bermula pada 3.30 pagi dengan penyertaan 5,000 pelari, manakala acara santai 5km ‘Fun Run’ melibatkan 10,000 peserta pada 7.30 pagi.

Keunikan tersendiri turut ditampilkan dalam kategori 10 km menerusi penampilan khas robot humanoid buatan HONOR, yang dijadualkan bersaing bersama pelari dari pelbagai negara termasuk Jepun dan Nigeria.

Bagi peserta Maraton Penuh, laluan perlumbaan bakal menguji ketahanan fizikal dengan pendakian sejauh 900 meter ketika merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur melaksanakan penutupan jalan secara berperingkat serta lencongan trafik bermula tengah malam tadi hingga petang ini bagi memastikan kelancaran acara.

Antara laluan utama yang terlibat ialah Jalan Bukit Bintang, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan serta lebuh raya AKLEH dan SUKE.

Secara keseluruhan, kejohanan yang mendapat pengiktirafan badan olahraga dunia, World Athletics itu menghimpunkan 25,000 pelari tempatan dan antarabangsa bagi empat kategori.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement