KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki barisan beregu campuran berpotensi besar dan tidak kalah dari segi bakat berbanding kuasa utama badminton dunia seperti China dan Indonesia, namun aspek karakter serta ketahanan mental dikenal pasti sebagai faktor penghalang mereka daripada mencapai konsistensi di pentas antarabangsa.
Ketua Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata kekangan utama pemain negara bukan terletak pada kemampuan teknikal, sebaliknya pada kegagalan mengurus tekanan dalam perlawanan berintensiti tinggi serta membina mentaliti juara.
“Saya rasa Malaysia tidak kekurangan bakat. Kita mempunyai banyak pemain bagus yang tidak kalah jika dibandingkan dengan Indonesia atau China. Cuma kadang-kadang dari segi karakter, mereka masih kurang kental,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.
Nova diminta mengulas mengenai jurang prestasi antara pasangan utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dengan gandingan lain yang dilihat masih bergelut untuk menyaingi tahap tersebut.
Menurut beliau, pemain negara mudah menghadapi tekanan terutamanya untuk mengekalkan prestasi sepanjang kejohanan yang sekali gus menyukarkan mereka konsisten pada penampilan dalam gelanggang.
“Saya lihat masih belum ramai pemain yang mampu mencapai tahap itu secara konsisten. Apabila berdepan kesulitan di dalam gelanggang, mereka masih belum cukup kuat untuk mengatasi situasi tersebut,” katanya.
Justeru, Nova berharap pemain dapat mengubah pola pemikiran kerana kejayaan tidak mungkin dicapai tanpa kesediaan untuk mengharungi kepayahan dalam proses latihan mahupun pertandingan.
-- BERNAMA