Skip to main content

Malaysia

Permata baharu dikenal pasti, mampu muncul pelumba trek bertaraf dunia - Beasley

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley mendedahkan telah mengenal pasti permata baharu sukan berbasikal trek yang mempunyai potensi untuk muncul pelumba bertaraf dunia pada masa hadapan.
Beasley berkata pengenalpastian bakat kekal menjadi keutamaan utama bagi memastikan kesinambungan kejayaan berbasikal trek Malaysia. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley mendedahkan telah mengenal pasti permata baharu sukan berbasikal trek yang mempunyai potensi untuk muncul pelumba bertaraf dunia pada masa hadapan.

Tanpa mendedahkan identiti atlet tersebut, Beasley berkata remaja berusia 16 tahun itu telah mencatat masa mengagumkan sekitar 10.4 saat, sekali gus menjadikannya antara bakat paling berpotensi yang pernah dilihat sejak berkhidmat dengan skuad negara.

Advertisement

“Dia mungkin bakat terbaik yang pernah saya lihat sejak berada di Malaysia. Jelas sekali, remaja itu ibarat sebutir permata yang belum digilap dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk melihat hasilnya.

“Saya cukup yakin dia memiliki saiz, kualiti dan kekuatan untuk menjadi pelumba berbasikal bertaraf dunia,” kata jurulatih kelahiran Australia itu ketika ditemui baru-baru ini.

Beasley berkata beberapa tahun akan datang amat penting dalam membentuk perkembangan remaja itu, termasuk melalui pembelajaran daripada kesilapan yang tidak dapat dielakkan sepanjang perjalanan tersebut.

Mengenai rancangan pembangunan, Beasley berkata pelumba itu akan dihantar ke Kejohanan Dunia Remaja tahun ini terutamanya untuk pendedahan sebelum menyasarkan cabaran podium dalam edisi berikutnya.

“Saya fikir dalam tempoh empat tahun akan datang, anda akan melihat seorang lagi juara baru muncul,” katanya.

Sementara itu, Beasley berkata pengenalpastian bakat kekal menjadi keutamaan utama bagi memastikan kesinambungan kejayaan berbasikal trek Malaysia.

Beliau berkata negara ini telah lama "ketandusan kualiti", bukan disebabkan kekurangan bakat, tetapi kelemahan dalam mengenal pasti atlet di peringkat akar umbi.

“Kita ada pelumba berbakat, tetapi tidak dikenal pasti. Jika kita perlu pergi mencari mereka, itu tugas saya. Saya akan memikul tanggungjawab itu sebagai pengarah teknikal. Saya perlu membekalkan generasi jurulatih seterusnya dengan atlet yang berkualiti,” katanya.

Malaysia ketika ini masih tidak mempunyai banyak pilihan pelumba sehingga perlu bergantung kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang kini berusia 38 tahun, sebagai sandaran terbaik dalam setiap perlumbaan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

Pada Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan minggu lepas, Azizulhasni yang digelar “Pocket Rocketman” mempamerkan prestasi sensasi dengan memenangi pingat emas dalam acara keirin, mengatasi juara dunia dari Belanda Harrie Lavreysen, selain turut meraih gangsa dalam acara pecut individu.

-- BERNAMA

Must Watch Video