Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Sandakan: Kerajaan teliti keperluan tambahan tambah baik Masjid Darus Salam - Zulkifli

SANDAKAN, 23 April -- Masjid Darus Salam tetap utuh dan tidak terjejas dari kebakaran yang memusnahkan 1,000 buah rumah di Kampung Bahagia pada Ahad lalu ketika tinjauan hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Masjid Darus Salam tetap utuh dan tidak terjejas dari kebakaran yang memusnahkan 1,000 buah rumah di Kampung Bahagia, Sandakan pada 19 April lalu. - Gambar Bernama

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan akan meneliti keperluan untuk menambah baik kemudahan termasuk keperluan memasang sistem solar di Masjid Darus Salam, yang terselamat daripada kebakaran besar di Kampung Bahagia di sini, minggu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata kajian perlu dilakukan terutama melibatkan keperluan pemasangan sistem solar bagi memastikan kemudahan berkenaan memberi manfaat serta bertahan lama.

Advertisement

“(Jabatan) Hal Ehwal Agama sudah ada beberapa model masjid yang menggunakan sistem solar, malah ada daripada masjid ini memenangi anugerah.

“Justeru, kita cuba telusuri dan teroka apa yang boleh dilakukan dalam konteks masjid di Kampung Bahagia nanti mengikut kesesuaian,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara Dewan Projek Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi di sini hari ini.

Pada 19 April lepas, sebanyak 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di kampung berkenaan  yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya turut menyumbang RM420,000 kepada komuniti di Sandakan termasuk mangsa kebakaran dan komuniti pulau, hari ini.

“Sumbangan ini (diberikan) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia. Turut serta memberi sumbangan ialah rakan strategik korporat iaitu QSR dan Zus.

“Kita akan teruskan sumbangan seumpama ini dalam membantu komuniti memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video