Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang giat lakukan persiapan setahun menjelang Sukan SEA 2027

Daniel Gooi Zi Sen
Daniel Gooi berkata, kerajaan negeri komited memastikan persediaan rapi dilaksanakan menerusi kerjasama erat dan penyelarasan berkesan antara semua pihak yang terlibat. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang giat melakukan persiapan secara bersepadu melibatkan pelbagai jabatan, agensi dan pemegang taruh berkaitan dengan hari ini genap setahun menjelang Sukan SEA 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, persiapan itu bagi memastikan Pulau Pinang bersedia dari segenap aspek merangkumi keselamatan, kesihatan, penginapan, pengangkutan, pengurusan venue serta sokongan kepada atlet dan delegasi. 

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan persediaan rapi dilaksanakan menerusi kerjasama erat dan penyelarasan berkesan antara semua pihak yang terlibat.

“Persediaan bagi sebuah temasya sukan antarabangsa memerlukan perancangan dan koordinasi menyeluruh.

“Justeru, setiap jabatan dan agensi berkaitan akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap aspek penganjuran diberi perhatian dan dapat dilaksanakan dengan lancar menjelang temasya tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Gooi berkata, kerajaan negeri mahu momentum persiapan itu terus diperkukuh sepanjang tempoh setahun akan datang supaya Pulau Pinang bukan sahaja bersedia dari sudut penganjuran, malah mampu memberikan pengalaman dan sambutan terbaik kepada atlet, pegawai, delegasi serta pengunjung.

“Kita mahu semangat Sukan SEA ini mula dirasai dari sekarang. Bendera, sorakan dan semangat rakyat Pulau Pinang perlu menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju September 2027,” katanya. 

Sukan SEA 2027 akan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept tahun depan dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta floorball.

Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing akan menganjurkan 18 sukan, manakala Johor menjadi tuan rumah bagi bola sepak. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement