SUNGAI PETANI: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup sementara mulai 7 Sept ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sebelum bermulanya perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga menyelaraskan gerak kerja supaya proses sebelum dan semasa berlangsungnya perlumbaan itu akan lebih lancar.
"Sekarang ini gerak kerja sedang dilaksanakan dan bermula 7 Sept, SIC akan ditutup sepenuhnya. Orang luar tidak boleh menyewa sebab akan ada kerja-kerja baik pulih dalam SIC.
“Kerja baik pulih antaranya melibatkan trek, tempat duduk, tandas dan semua elemen supaya imej negara kita dapat diangkat pada peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini, hari ini.
Beliau berkata tiga jawatankuasa diwujudkan membabitkan jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kecil bagi melancarkan penganjuran F1 GP Bahrain di negara ini.
"Setiap minggu, jawatankuasa teknikal akan bermesyuarat pada Selasa, dan kemudian kita akan bentangkan hasil mesyuarat dalam mesyuarat Kabinet.
"Setakat hari ini, kita telah pun memeterai perjanjian antara pihak SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain, dan kita telah menyetujui beberapa perkara termasuk penjualan tiket, parkir dan sebagainya," katanya.
Mohammed Taufiq berkata perlumbaan F1 GP Bahrain yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Okt ini dijangka memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.
"Dalam tempoh tiga hari penganjuran perlumbaan itu, kita mahu pastikan limpahan ekonomi yang positif akan dirasai oleh rakyat Malaysia.
"Minggu depan, kita akan buat pelancaran sukarelawan bagi mereka yang berminat menyertai pasukan sukarelawan untuk perlumbaan F1," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq berkata KBS sentiasa mengutamakan tahap kesihatan para atlet negara terutama ketika Malaysia sedang dilanda jerebu pada masa ini.
Beliau berkata atlet negara sedang menjalani sesi latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung pada 19 Sept hingga 3 Okt ini.
"Pada peringkat KBS, kita sentiasa mahu memastikan kesihatan atlet kita menjadi keutamaan dan perlu mengikut garis panduan ditetapkan, berdasarkan tahap jerebu semasa.
"Bagaimanapun, semua langkah tidak menyekat sebarang persiapan dan juga latihan untuk atlet kita,” katanya.
Keadaan jerebu di seluruh negara hari ini menunjukkan sedikit pemulihan apabila jumlah kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat menurun kepada 29 kawasan setakat pukul 2.30 petang tadi.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan RM30,000 untuk aktiviti KMEK sebagai penghargaan kepada pengamal media di negeri ini.
-- BERNAMA