Skip to main content

Malaysia

Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di bawah naungan Tunku Mahkota Ismail - Exco

stadium sultan ibrahim
Stadium Sultan Ibrahim (SSI) merupakan hak milik kelab berkenaan yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menafikan dakwaan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, dakwaan oleh seorang individu yang dimuat naik di platform X itu adalah tidak benar dan berpotensi mengelirukan masyarakat.

Advertisement

Beliau berkata, SSI merupakan hak milik kelab berkenaan yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab.

"Saya menafikan sekeras kerasnya dakwaan tersebut. Kenyataan yang dibuat individu berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat spekulatif, serta wajar dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pembinaan stadium itu merupakan sebahagian daripada visi strategik Tunku Mahkota Ismail dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di negeri ini.

Mohd Hairi berkata, kelab JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan.

Bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara berstruktur dan profesional, Tunku Mahkota Ismail telah memberikan kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) termasuk mengawal selia operasi harian stadium.

"PSNJ turut melaksanakan penyelenggaraan berkala serta mengurus aspek keselamatan, fasiliti, logistik dan penganjuran acara," katanya.

Mohd Hairi berkata, model pengurusan itu memperlihatkan pemisahan peranan yang jelas dan berkesan apabila JDT memberi tumpuan kepada prestasi pasukan, manakala PSNJ bertanggungjawab terhadap pengurusan dan penyelenggaraan stadium.

"Pendekatan ini selari dengan amalan terbaik kelab elit dunia dan menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional serta antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua pihak, khususnya penulis dan pempengaruh media sosial agar lebih bertanggungjawab dengan menyemak fakta, sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi institusi sukan negeri dan kepimpinan Johor.

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri kekal komited memastikan SSI terus diurus secara profesional, berintegriti dan menjadi kebanggaan rakyat serta simbol kecemerlangan sukan negeri.

-- BERNAMA

Must Watch Video