Skip to main content

Malaysia

Sukan Asia: Rexy percaya emas dalam jangkauan Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Jurulatih Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky ketika ditemui media selepas menjalani sesi latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rexy ketika ditemui media selepas menjalani sesi latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky percaya skuad badminton negara mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Namun, jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak mahu meletakkan tekanan keterlaluan kepada pemain dan mengambil pendekatan realistik dengan menjadikan pingat perak dan gangsa sebagai sasaran awal skuad badminton negara.

Rexy berkata keyakinannya antara lain disandarkan kepada gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, selain beregu wanita utama Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Cheng Su Yin.

"Memang sasaran kita harus realistik, iaitu perak dan gangsa. Namun daripada hati kecil saya, saya tetap percaya pemain saya mampu beri lebih daripada itu (pingat emas). 

“Siapa sahaja yang berada di sini pasti mahu kami memenangi emas," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata faktor undian bakal memainkan peranan penting, khususnya bagi pasangan yang tidak berada dalam kelompok pilihan teratas dan berkemungkinan berdepan pencabar utama lebih awal.

“Kalau mereka dapat melepasi lawan-lawan sukar, peluang untuk mendapatkan pingat emas cukup besar. Kita harap apabila undian keluar nanti, perkara itu menjadi motivasi kepada pemain,” katanya.

Mengulas persiapan skuad negara, Rexy berpuas hati dengan perkembangan semasa selepas Sze Fei-Nur Izzuddin serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mula menyertai sesi latihan.

Beliau berkata beberapa perkara melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan juga telah diperhalusi, manakala fokus minggu terakhir ialah memastikan kesihatan, tumpuan dan motivasi pemain berada pada tahap terbaik sebelum turun beraksi.

Kali terakhir Malaysia meraih emas badminton Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki di Doha 2006, manakala pada edisi Hangzhou 2022, Aaron-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa.

Badminton merupakan antara sukan berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara yang menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Aichi-Nagoya 2026.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement