Skip to main content

Malaysia

Sukan SEA 2027: Pelancaran program sukarelawan, lagu tema pada 5 Dis

Menurut Mohammed Taufiq, persiapan penganjuran temasya berkenaan berjalan lancar mengikut jadual termasuk dari segi penyediaan kemudahan dengan pemantauan rapi oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia. - Gambar fail
Menurut Mohammed Taufiq, persiapan penganjuran temasya berkenaan berjalan lancar mengikut jadual termasuk dari segi penyediaan kemudahan dengan pemantauan rapi oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia. - Gambar fail
Advertisement

HULU LANGAT: Malaysia akan melancarkan program sukarelawan dan lagu tema rasmi Sukan SEA 2027 pada 5 Dis ini sebagai sebahagian daripada persiapan negara menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata persiapan penganjuran temasya berkenaan berjalan lancar mengikut jadual termasuk dari segi penyediaan kemudahan dengan pemantauan rapi oleh Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).

"Alhamdulillah, persiapan Sukan SEA 2027 berada dalam keadaan baik dan teratur serta mengikut jadual. Pada 5 Dis ini, kita akan mengadakan majlis pelancaran program sukarelawan dan lagu tema rasmi Sukan SEA 2027," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TVET 2.0 KBS dan Himpunan Belia TVET MADANI 2026 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata lokasi majlis pelancaran itu akan dimuktamadkan dan diumumkan kelak.

Menurut beliau, siri jelajah Sukan SEA 2027 kini giat dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan kemeriahan temasya itu dapat dirasai rakyat, bukan hanya di lokasi kluster pertandingan.

Advertisement

Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq berkata penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lepas mencatat rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah dengan hampir 200,000 pengunjung.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama semua pihak serta sokongan padu rakyat Malaysia khususnya peminat sukan permotoran.

Dr Mohammed Taufiq turut memaklumkan bahawa Kabinet sebelum ini meluluskan pengekalan penganjuran MotoGP di Sepang dalam kalendar kejuaraan dunia hingga 2031.

Katanya, penganjuran itu turut memberi impak ekonomi menerusi sektor pelancongan dan peluang keusahawanan tempatan.

Mengulas potensi penajaan semula pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli atau Hakim Danish susulan prestasinya yang semakin meningkat, Dr Mohammed Taufiq berkata kementeriannya terbuka untuk berbincang dengan pasukan ZK Racing mengenai bentuk sokongan bagi memastikan kesinambungan kerjaya pelumba itu.

Beliau berkata, KBS turut menggalakkan penglibatan penaja swasta dan korporat, selain bersedia membantu mempermudah urusan berkaitan.

"Fokus kita adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dari peringkat akar umbi, seperti laluan yang dilalui Hakim Danish menerusi tajaan KBS hingga berjaya menjadi pelumba profesional," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata majlis penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dijadual berlangsung malam ini bagi menghargai atlet negara yang meraih pingat pada temasya Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Para Asia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement