Skip to main content

Malaysia

SUKMA 2026: Selangor sedia tindakan susulan jika IPU tidak sihat - Amirudin

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2592738
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan pemantauan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JPNS), kawasan Johan Setia di Klang mencatatkan trend kualiti udara melepasi paras tidak sihat berikutan faktor lokasi serta kemungkinan insiden kebakaran setempat sejak beberapa hari lepas.
Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersedia mengambil langkah susulan berhubung penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan pemantauan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JPNS), kawasan Johan Setia di Klang mencatatkan trend kualiti udara melepasi paras tidak sihat berikutan faktor lokasi serta kemungkinan insiden kebakaran setempat sejak beberapa hari lepas.

"Kita (kerajaan negeri) akan pantau apabila sampai kepada IPU tidak sihat, kita akan ambil langkah-langkah sebagaimana yang dinasihatkan oleh MetMalaysia dan Jabatan Kesihatan negeri.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan entiti penting yang akan memberikan nasihat jika IPU mencecah lebih 100, kita akan ambil tindakan seterusnya untuk tangani," katanya pada sidang media selepas penyerahan Geran Pembangunan Negeri Selangor (SELidik) 2026 di sini hari ini.

Beliau memberi jaminan pihaknya sentiasa memantau rapi laporan rasmi daripada agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para atlet mahupun orang awam sepanjang temasya itu berlangsung.

Amirudin berkata langkah pencegahan dan penyesuaian jadual pertandingan hanya akan ditetapkan secara rasmi sekiranya keadaan cuaca merosot sehingga mencapai tahap yang membimbangkan.

"Kalau IPU tidak sihat, kita tunggu keputusan dan nasihat daripada KKM," katanya.

Terdahulu, media melaporkan lapan kawasan di Sarawak dan satu di Selangor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 6 petang semalam, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS).

Di Semenanjung, Johan Setia menjadi satu-satunya kawasan berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 153.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement