KUCHING: Kuching City FC mencipta kejutan apabila menundukkan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027 di Stadium Taha Ariffin di sini malam tadi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad The Cats mempamerkan aksi bertenaga apabila penyerang sensasi Safawi Rasid muncul wira pasukan menerusi dua jaringan pada minit ke-12 dan ke-19.
Jaringan awal itu menyuntik keyakinan anak buah Aidil Sharin Sahak yang terus mengawal rentak permainan bagi mengekang asakan pasukan pelawat.
Memasuki babak kedua, Gangwon FC meningkatkan tekanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya dalam usaha merapatkan jurang jaringan.
Bagaimanapun, penjaga gol Kuching City Muhammad Haziq Nadzli menjadi benteng penting apabila berjaya menafikan dua percubaan berbahaya pasukan lawan untuk memastikan gawang tuan rumah tidak dibolosi.
Gangwon FC terus menggandakan asakan hingga ke penghujung perlawanan, namun pertahanan Kuching City kekal utuh untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik tuan rumah.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City mengutip tiga mata berharga dalam Kumpulan H, sekali gus mengekalkan peluang memburu slot ke pusingan 16 terbaik, dengan baki dua perlawanan peringkat kumpulan.
The Cats dijadual menentang kelab Kemboja Phnom Penh Crown pada 26 Nov sebelum berkunjung ke gelanggang wakil Hong Kong, Kitchee bagi aksi terakhir kumpulan pada 3 Dis.
-- BERNAMA