NAGOYA: Sembilan pingat emas yang diraih kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menyamai pencapaian terbaik negara di Guangzhou 2010, namun lebih penting pencapaian itu membuka ruang untuk menilai sejauh mana potensi sukan negara mampu diterjemahkan kepada kejayaan lebih besar pada masa depan.
Pingat emas berkenaan hadir menerusi karate, e-sukan, sepak takraw, skuasy dan berbasikal trek, sekali gus membolehkan Malaysia melepasi sasaran awal enam emas yang ditetapkan sebelum temasya.
Skuasy muncul antara penyumbang utama apabila Ng Eain Yow dan S. Sivasangari yang telah layak ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA28) mempertahankan kejuaraan perseorangan masing-masing, sebelum skuad lelaki dan wanita turut menguasai acara berpasukan.
Empat emas daripada sukan itu mengukuhkan kedudukan skuasy sebagai antara sandaran utama negara, selain mencerminkan hasil pembangunan atlet yang dilakukan secara berterusan.
Dalam sepak takraw pula, emas regu berpasukan lelaki mempunyai nilai tersendiri apabila Malaysia menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali berdiri di podium tertinggi acara berkenaan.
Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang pula menggunakan pengalaman luasnya untuk memenangi keirin lelaki, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia dalam acara tersebut.
Sementara itu, Taj Izrin Aiman Taj Madira mencipta sejarah sebagai wakil e-sukan pertama negara memenangi emas Sukan Asia menerusi Gran Turismo 7, manakala Adeola Fay Robert dan C. Shahmalarani menyumbang dua emas dalam karate.
Gabungan keputusan itu memperlihatkan kekuatan Malaysia semakin melebar, bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada sukan tradisional malah mula menampilkan potensi dalam cabang baharu serta membabitkan atlet daripada generasi berbeza.
Walau bagaimanapun, sembilan emas berkenaan tidak seharusnya menutup beberapa persoalan yang timbul sepanjang 16 hari persaingan di Aichi-Nagoya.
Beberapa sukan yang diharapkan menjadi penyumbang pingat gagal memenuhi sasaran, manakala skuad hoki lelaki bukan saja terlepas peluang meraih emas malah tiket automatik ke LA28 selepas tewas kepada India pada final.
Situasi itu menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah kontinjen tidak semata-mata diukur berdasarkan jumlah pingat, sebaliknya turut bergantung kepada kemampuan setiap sukan memanfaatkan peluang apabila berdepan persaingan di peringkat tertinggi.
Justeru, pencapaian di Aichi-Nagoya wajar dijadikan asas untuk menilai semula kekuatan dan kelemahan setiap sukan, termasuk aspek pembangunan bakat, kejurulatihan, persiapan pertandingan serta sokongan sains sukan dan perubatan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menyifatkan pencapaian itu sebagai petunjuk positif bahawa program pembangunan sukan berprestasi tinggi negara berada di landasan yang baik, namun mengingatkan bahawa kejayaan tersebut bukan noktah.
Selain sembilan emas, kontinjen negara turut membawa pulang tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus menunjukkan Malaysia masih mempunyai asas kukuh untuk terus bersaing di peringkat Asia.
Cabaran seterusnya bagaimanapun lebih besar apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 sebelum tumpuan beralih kepada LA28, yang menjadi sasaran utama negara dalam usaha merealisasikan impian memburu pingat emas Olimpik pertama.
Justeru, sembilan emas itu ia perlu menjadi titik permulaan untuk mengenal pasti apa yang telah berjaya, memperbaiki kelemahan yang masih wujud dan membina kesinambungan supaya pencapaian di Aichi-Nagoya tidak sekadar mengulangi sejarah, tetapi menjadi batu loncatan kepada kejayaan lebih besar di pentas antarabangsa.
-- BERNAMA