NAGOYA: Skuad sepak takraw lelaki negara membuka tirai kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan bergaya apabila menumpaskan tuan rumah Jepun 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan B acara regu berpasukan di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium, hari ini.
Turun tanpa perejam utama Muhammad Noraizat Nordin yang digugurkan akibat kecederaan, barisan pemain negara tetap mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih mata pertama dalam saingan kumpulan.
Tempat Noraizat digantikan Muhammad Shahalril Aiman Halim selepas Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan permohonan pertukaran pemain kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Trio pertama negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam membuka langkah dengan kemenangan 2-0 untuk menghadiahkan mata pertama buat Malaysia.
Dua trio berikutnya meneruskan momentum apabila masing-masing menewaskan lawan menerusi keputusan 2-0 dan 2-1, sekali gus mengesahkan kemenangan ke atas Jepun.
Kemenangan itu memberikan permulaan positif kepada skuad negara yang kini mengalihkan fokus kepada aksi kedua Kumpulan B menentang Filipina esok.
-- BERNAMA