Skip to main content

Sukan

Beasley puas hati prestasi skuad negara pada Piala Dunia Berbasikal Trek di Nilai

NILAI, 20 April -- Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara John Beasley menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai, baru-baru ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley ternyata berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan skuad kebangsaan pada Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan minggu lepas.

Beliau berkata skuad wanita menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas mencatat rekod kebangsaan menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut individu serta catatan terbaik peribadi oleh Nur Alyssa Mohd Farid.

Advertisement

Namun, jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan bahawa barisan pelumba negara masih dalam fasa pembangunan dan memerlukan masa untuk mencapai potensi sebenar mereka.

“Saya sangat berbangga dengan mereka (pasukan wanita). Mereka masih belajar dan perjalanan masih jauh, tetapi mereka berada di landasan betul. Saya berpandangan bagi pasukan wanita, mereka dalam keadaan baik untuk menempatkan pasukan melalui proses kelayakan bagi acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik.

“Ia sesuatu yang luar biasa jika kita dapat menghantar tiga pelumba wanita ke temasya itu. Jika kita berjaya, mereka bukan sahaja akan beraksi dalam acara pecut berpasukan, malah turut memperoleh dua slot keirin dan dua slot pecut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Skuad wanita kebangsaan menyerlah apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam acara pecut berpasukan dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Alyssa Mohd Farid dan Anis Amira Rosdi. Sementara itu, Nurul Izzah menduduki tempat ketujuh dan ke-10, manakala Nur Alyssa menamatkan saingan di tempat ke-12 dan ke-13, masing-masing dalam acara pecut dan keirin.

Dalam acara perlumbaan penyingkiran wanita, Nur Aisyah Mohamad Zubir berjaya mara ke peringkat akhir dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-21, selain turut menduduki tempat ke-19 dalam acara omnium.

Bagi kategori lelaki, Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-13 dalam acara pecut berpasukan yang menampilkan Adib Andhar Andan, Mohd Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Pelumba utama negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, merangkul pingat emas dalam acara keirin dan gangsa dalam pecut individu, manakala Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di tempat ke-16 dalam pecut individu dan ke-23 dalam keirin.

Beasley turut memuji Shah Firdaus atas kebangkitan memberangsangkan selepas menamatkan saingan di tempat ke-16 dalam acara pecut walaupun hanya menjalani latihan terhad susulan pembedahan serius kira-kira lima bulan lalu akibat kecederaan lutut yang menjejaskan prestasinya hampir sepanjang tahun lepas.

“Shah Firdaus telah melalui 10 bulan tanpa latihan. Untuk menamatkan saingan di tempat ke-16, saya agak berpuas hati dengan kedudukan sekarang. Saya rasa proses pemulihan harus diberikan kepada ahli fisioterapi dan jurulatih kecergasan kami, mereka telah melakukan tugas yang sangat baik.

“Sekarang kerja keras bermula. Kami langsung belum melakukan latihan pecutan, jadi itulah fokus utama selepas ini. Banyak peningkatan boleh dicapai di situ, dan dia seorang atlet berkualiti. Jika kami dapat mengembalikannya ke tahap terbaik, anda akan mempunyai seorang lagi atlet bertaraf dunia,” katanya.

Pusingan akhir Piala Dunia Berbasikal Trek yang berlangsung selama tiga hari di Nilai berakhir Ahad lepas.

Selepas tiga pusingan, termasuk di Perth pada Mac dan Hong Kong awal bulan ini, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keenam bersama Great Britain dengan, masing-masing satu emas dan satu gangsa, manakala China muncul juara keseluruhan mengatasi Belanda dan Norway.

Melangkah ke hadapan, Beasley berkata tumpuan kekal kepada pembangunan jangka panjang dan sasaran utama tahun ini, termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun pada September serta Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai pada Oktober.

Beliau berkata Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai, akan menjadi platform persediaan ketika skuad kebangsaan membina prestasi kemuncak menjelang penghujung musim ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video