PARIS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memberikan akses kepada ahli-ahli Majlis FIFA untuk meneliti dokumen penting berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang kini telah dibatalkan, menurut sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu.
Menurut Reuters, FIFA membatalkan pelan bernilai AS$20 bilion untuk menjual hak komersial Piala Dunia awal musim panas lalu, hanya beberapa hari selepas ia diumumkan kepada umum susulan bantahan meluas yang dilihat menjejaskan kedudukan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Sumber berkenaan berkata, Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom telah menghantar surat kepada ahli-ahli Majlis FIFA pada Isnin bagi mempelawa mereka menyatakan minat untuk meneliti dokumen tersebut di ibu pejabat organisasi itu di Zurich, Switzerland, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Tindakan itu dibuat pada hari sama tarikh akhir yang ditetapkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bagi FIFA menjawab beberapa persoalan berkaitan kepimpinan Infantino, ketika beberapa persatuan bola sepak Eropah terus mendesak pembaharuan dalam badan induk dunia itu dan menentang pemilihan semula beliau.
Beberapa persekutuan bola sepak sebelum ini menuntut reformasi menyeluruh dalam FIFA selepas kegagalan cadangan FFE, manakala Infantino turut pernah mencadangkan semakan bebas terhadap proses membuat keputusan dalam organisasi berkenaan.
Bulan lalu, UEFA menghantar surat kepada FIFA meminta penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan pentadbiran Infantino, termasuk FFE dan Anugerah Keamanan FIFA (FIFA Peace Prize), dengan menetapkan 2 November sebagai tarikh akhir untuk memberikan maklum balas.
Menurut sumber itu, FIFA berpandangan tempoh dua minggu yang diberikan UEFA untuk menjawab lebih 100 soalan adalah tidak realistik memandangkan organisasi itu ketika ini memberi tumpuan kepada penganjuran Piala Dunia Remaja baharu di Baku, Azerbaijan.
Selain itu, FIFA juga sedang membuat persiapan bagi Kongres Luar Biasa FIFA pada 23 November yang akan menentukan tuan rumah bagi Piala Dunia Wanita FIFA 2031 dan 2035.
Sumber berkenaan turut memaklumkan tindakan undang-undang yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat mewujudkan kekangan tertentu dari sudut perundangan.
"FIFA menegaskan bahawa maklum balas kepada ahli-ahli Majlis akan diberikan pada masa yang sesuai, dan jemputan untuk meneliti dokumen utama itu hanya diberikan kepada ahli Majlis FIFA," katanya.
Prospek Infantino untuk dipilih semula dilihat semakin kukuh selepas menerima sokongan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lebih seminggu lalu bagi penggal keempat sebagai presiden FIFA.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan pendirian Eropah yang menentang kepimpinan Infantino semakin terasing.
Infantino dijadualkan bertanding semula bagi jawatan Presiden FIFA pada Mac 2027, dengan tarikh akhir pencalonan ditetapkan pada 18 November depan. - Reuters