BEKAS juara heavyweight UFC, Francis Ngannou, akhirnya mendedahkan detik yang benar-benar membuatkan beliau nekad meninggalkan organisasi seni bela diri campuran (MMA) terbesar dunia itu walaupun ketika berada di puncak karier.
Menurut Ngannou, keputusan meninggalkan UFC bukan semata-mata kerana soal wang, sebaliknya ia berpunca daripada rasa tidak dihormati sepanjang rundingan kontrak bersama pihak pengurusan UFC.
Dalam temu bual bersama Daniel Cormier untuk ESPN, Ngannou berkata beliau mula memikirkan untuk keluar apabila merasakan maruah dan egonya 'disentuh' oleh cara UFC mengendalikan rundingan tersebut.
“Saya rasa kesilapan UFC ialah apabila mereka sampai ke tahap menyentuh ego saya. Saya rasa tidak dihormati. Masa itu saya tahu saya perlu keluar daripada kontrak ini,” kata Ngannou.
Kenyataan itu sekali lagi membuka semula perdebatan panjang mengenai layanan UFC terhadap petarung, khususnya berkaitan isu kontrak, kebebasan komersial dan bayaran kepada atlet.
Ngannou sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi antara segelintir juara UFC yang memilih meninggalkan organisasi itu ketika masih bergelar juara dunia. Beliau secara rasmi berpisah dengan UFC pada Januari 2023 selepas rundingan kontrak baharu gagal mencapai persetujuan.
Antara tuntutan utama Ngannou ketika itu termasuk perlindungan insurans kesihatan untuk petarung, hak mendapatkan penajaan sendiri dan suara wakil atlet dalam proses rundingan kontrak.
Keputusan itu pada awalnya dianggap berisiko besar kerana Ngannou meninggalkan UFC ketika namanya sedang memuncak selepas menewaskan Stipe Miocic dan mempertahankan gelaran menentang Ciryl Gane.
Namun langkah berani itu akhirnya membuka peluang lebih besar buat petarung kelahiran Cameroon tersebut.
Selepas keluar daripada UFC, Ngannou terus mencuri perhatian dunia apabila berjaya memasuki arena tinju profesional dan bertarung menentang Tyson Fury serta Anthony Joshua. Walaupun tewas dalam kedua-dua pertarungan itu, beliau dilaporkan memperoleh puluhan juta dolar serta meningkatkan lagi status globalnya dalam dunia sukan tempur.
Malah, Ngannou turut menggesa petarung lain supaya tidak takut meneroka pilihan di luar UFC jika merasakan diri mereka terikat dengan kontrak yang tidak memihak kepada atlet.
Kini pada usia 39 tahun, Ngannou bersedia kembali ke MMA menerusi acara MVP MMA di California hujung minggu ini menentang bekas juara PFL, Philipe Lins. Pertarungan tersebut dijangka menjadi sebahagian daripada usaha beliau untuk membuktikan dirinya masih antara heavyweight paling berbahaya di dunia.
Menariknya, walaupun hubungan Ngannou dan UFC dilihat masih tegang, beliau tidak pernah menolak kemungkinan untuk bekerjasama semula dengan organisasi itu pada masa depan sekiranya syarat yang ditawarkan lebih adil kepada petarung.
-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.