GLASGOW: Skuad bola keranjang 3x3 negara melakar sejarah apabila melangkah ke suku akhir Sukan Komanwel Glasgow 2026, selepas menamatkan saingan di kedudukan kedua Kumpulan B pada Isnin.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Scottish Event Campus (SEC) di sini, Malaysia yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu mencatat kemenangan bergaya 21-15 ke atas Jamaica.
Skuad negara akan berdepan tuan rumah Scotland pada aksi suku akhir pada Selasa (awal pagi Rabu waktu Malaysia), dengan pemenang perlawanan itu bakal menentang Australia di separuh akhir.
Satu lagi aksi suku akhir menemukan New Zealand dan Singapura, dengan pemenangnya akan berdepan juara bertahan England di separuh akhir.
Terdahulu, Malaysia tewas tipis 19-21 kepada England dalam aksi sebelah pagi selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut ke atas Fiji, Kenya dan Singapura.
Berdasarkan format, juara kumpulan secara automatik ke separuh akhir manakala pasukan yang menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga perlu mengharungi perlawanan suku akhir.
Acara bola keranjang 3x3 mula dipertandingkan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Glasgow 2026 menyaksikan penampilan sulung Malaysia dalam acara bola keranjang 3x3 lelaki di temasya empat tahun sekali itu.
-- BERNAMA