Skip to main content

Malaysia

5,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan Deepavali peringkat kebangsaan 14 Nov ini

Aaron berkata Deepavali bukan sahaja menjadi perayaan keagamaan, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling mengenali, memahami dan menghormati keunikan antara satu sama lain. --fotoBERNAMA
Aaron berkata Deepavali bukan sahaja menjadi perayaan keagamaan, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling mengenali, memahami dan menghormati keunikan antara satu sama lain. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Seramai 5,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka memeriahkan Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Little India Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Nov ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan bertemakan 'Cahaya Deepavali Semarak Perpaduan' itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan sambutan berkenaan yang berlangsung dari 8 pagi hingga 11.30 malam.

Advertisement

"Deepavali merupakan antara perayaan yang memperlihatkan keindahan dan kekayaan warisan budaya masyarakat Malaysia.

"Tradisi menghias kolam, memasang pelita, menyediakan juadah tradisional serta amalan rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi bukan sekadar menyerikan perayaan, malah menjadi wahana memperkukuh semangat kejiranan dan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Aaron berkata pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk persembahan kebudayaan dan tarian tradisional India, persembahan alat muzik klasik seperti Veenai dan Mridangam, demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Silambam, Kalaripayattu dan Karra Samu serta pertunjukan fesyen.

Beliau berkata sambutan itu turut menampilkan reruai Rumah KAMI yang memperkenalkan kepelbagaian warisan dan tradisi masyarakat Melayu, Cina, Tamil, Telugu, Punjabi, Gujarati dan Malayalee.

Selain itu, katanya kemeriahan acara akan diserikan dengan persembahan artis dan penyanyi tempatan termasuk Yogi B and Natchatra, Buggimaan, Havoc Brothers, Zubir Khan, Gayathri Thandapany, Kashmir Stone dan Kumaresh.

Aaron berkata Deepavali bukan sahaja menjadi perayaan keagamaan, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling mengenali, memahami dan menghormati keunikan antara satu sama lain. 

"Semangat inilah yang perlu terus diperkasakan dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, beridentiti nasional dan berteraskan nilai kebersamaan.

"Marilah kita terus menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan, warisan sebagai kebanggaan dan perpaduan sebagai asas pembinaan negara bangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement