Skip to main content

Sukan

'It’s a YES!' - Gugurnya air mata Azizulhasni, perjuangan ke LA28 diteruskan

'It’s a YES!' -- gugurnya air mata Azizulhasni, perjuangan ke LA28 diteruskan -- stadiumastro
Perkhabaran itu ternyata cukup bermakna buat jaguh berbasikal trek negara berkenaan sehingga menitiskan air mata. - Foto Threads azizulhasniawang
Advertisement

AIR mata akhirnya mengalir.

Selepas melalui beberapa hari penuh tanda tanya mengenai masa depannya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akhirnya menerima perkhabaran yang dinanti-nantikan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) memberi lampu hijau untuk meneruskan perjuangannya menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Perkhabaran itu ternyata cukup bermakna buat jaguh berbasikal trek negara berkenaan sehingga menitiskan air mata.

Bukan kerana kecewa, tetapi kerana lega.

Lega kerana perjuangan yang mahu diteruskan demi mengharumkan nama Malaysia akhirnya mendapat sokongan yang diperlukan.

Menerusi hantaran di media sosial, Azizulhasni menzahirkan rasa syukur sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, khususnya rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakangnya.

“Alhamdulillah. It’s a YES.”

Itu kata-kata ringkas Azizulhasni yang seakan-akan merangkum segala emosi selepas melalui episod penuh debar mengenai perancangannya ke LA28.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya seluruh rakyat yang tampil berdiri teguh di belakang saya yang lemah ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak KBS dan MSN yang masih memerlukan khidmat saya dan memenuhi mandat rakyat.

“Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya.  

 

Perkembangan itu hadir selepas beberapa hari menjadi perhatian peminat sukan negara berhubung masa depan Azizulhasni serta bentuk sokongan yang bakal diterimanya untuk meneruskan misi Olimpik.

Kini, segala persoalan itu semakin terjawab.

KBS dan MSN sebelum ini mengesahkan sokongan terhadap Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan menggalas tanggungjawab memburu mata kelayakan Olimpik LA28.

Lebih daripada sekadar seorang atlet, Azizulhasni membawa bersama pengalaman luas, rekod pencapaian serta mentaliti juara yang sudah terbukti di pentas tertinggi dunia.

Selepas meraih perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Rio 2016, impian untuk kembali beraksi di pentas Olimpik masih belum padam.

Dan hari ini, satu lagi pintu telah dibuka.

“It’s a YES.”

Dua perkataan yang cukup untuk menghidupkan semula harapan.

Perjalanan ke Los Angeles masih panjang dan penuh cabaran, namun sekurang-kurangnya Azizulhasni kini tidak lagi perlu tertanya-tanya sama ada Malaysia masih mahu beliau meneruskan perjuangan.

Jawapannya sudah jelas.

Malaysia masih memerlukan Azizulhasni. Dan Azizulhasni masih mahu berjuang untuk Malaysia. -- Stadium Astro
 

Must Watch Video

Advertisement