Skip to main content

Sukan

James Rodriguez umum persaraan dari arena antarabangsa

[TB]_Colombia midfielder James Rodriguez_REUTERS
Rodriguez menzahirkan penghargaan kepada penyokong dan rakan sepasukan sepanjang tempohnya bersama skuad kebangsaan. - Foto REUTERS
Advertisement

BOGOTA: Bintang tengah Colombia, James Rodriguez mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak antarabangsa pada Selasa, sekali gus menamatkan karier cemerlang yang menyaksikannya menjadi antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah moden negara itu.

Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Rodriguez menzahirkan penghargaan kepada penyokong dan rakan sepasukan sepanjang tempohnya bersama skuad kebangsaan.

"Terima kasih untuk setiap perlawanan, setiap kegembiraan, setiap air mata dan setiap impian yang kita kongsi bersama. Mempertahankan warna pasukan kebangsaan Colombia adalah antara penghormatan terbesar dalam hidup saya," katanya.

Pemain berusia 35 tahun itu membuat penampilan sulung bersama skuad senior Colombia pada 2011 dan sering menggalas tugas sebagai kapten pasukan.

Sepanjang karier antarabangsanya, Rodriguez mencatat 131 penampilan dan menjaringkan 31 gol, selain mewakili Colombia dalam tiga kejohanan Piala Dunia serta empat edisi Copa America.

Nama Rodriguez mula menjadi perhatian dunia ketika Piala Dunia 2014 di Brazil apabila beliau meledak enam gol untuk muncul pemenang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Prestasi cemerlangnya turut membantu Colombia mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.

Gol voli sensasi yang dijaringkannya ketika menentang Uruguay di pusingan 16 terbaik kejohanan itu turut diiktiraf sebagai gol terbaik dunia apabila memenangi Anugerah Puskas FIFA.

Minggu lalu, Rodriguez menyertai kelab Colombia, Atletico Nacional, menerusi kontrak sehingga Jun tahun depan selepas meninggalkan kelab Major League Soccer (MLS), Minnesota United.

Di peringkat kelab, beliau pernah menyarung jersi beberapa pasukan elit Eropah termasuk Real Madrid, Bayern Munich dan Everton.

Bersama Real Madrid, Rodriguez memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara UEFA serta dua kejuaraan LaLiga, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain Colombia paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia.

 

 

Must Watch Video

Advertisement