Skip to main content

Sukan

Jeddah tuan rumah pembukaan Formula E 2026-2027 Disember ini

FILE - Ferrari driver Lewis Hamilton of Britain steers his car during the first free practice ahead of the Formula One Saudi Arabian Grand Prix at the Jeddah Corniche Circuit in Jeddah, Saudi Arabia, Friday, April 18, 2025. (AP Photo/Altaf Qadri, File)
Acara berkenaan turut menyediakan zon peminat dengan program interaktif dan mesra keluarga, selain persembahan selepas perlumbaan. - Gambar fail/ AP
Advertisement

JEDDAH: Tiket bagi E-Prix Jeddah kini mula dijual menjelang perlumbaan pembukaan musim Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA 2026-2027 di Litar Jeddah Corniche pada 18 dan 19 Dis, sekali gus menandakan kali pertama Jeddah menjadi tuan rumah pusingan pembukaan kejohanan itu, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Acara itu bakal menyaksikan penampilan sulung kompetitif kereta GEN4, jentera paling berkuasa dalam sejarah kejohanan berkenaan dengan kuasa sehingga 600 kilowatt (kW) dan mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 1.8 saat.

Musim itu turut memperkenalkan format perlumbaan baharu dikenali sebagai "E-Prix Unleashed" di samping perlumbaan E-Prix tradisional.

Litar Jeddah Corniche sepanjang 3.001 kilometer (km) yang mempunyai 19 selekoh akan menjadi lokasi dua pusingan pertama musim baharu itu, yang berlangsung sebagai perlumbaan malam di bawah limpahan cahaya lampu.

Acara berkenaan turut menyediakan zon peminat dengan program interaktif dan mesra keluarga, selain persembahan selepas perlumbaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Automobil dan Motosikal Arab Saudi, Mansour Almokbel berkata, penganjuran pusingan pembukaan itu mencerminkan peranan Arab Saudi yang semakin berkembang dalam membentuk masa depan sukan permotoran serta menjadi tuan rumah kejohanan dunia.

-- BERNAMA-SPA

 

Must Watch Video

Advertisement