Skip to main content

Sukan

Juara Liga Perdana Inggeris Arsenal tandatangani Bruno Guimaraes

Sumber: ARSENAL
Pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun dengan pilihan lanjutan semusim lagi. - Foto X/Arsenal
Advertisement

ISTANBUL: Juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal, pada Sabtu mengumumkan pembelian pemain tengah Brazil Bruno Guimaraes daripada Newcastle United menerusi kontrak jangka panjang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami berbesar hati mengumumkan bahawa pemain antarabangsa Brazil, Bruno Guimaraes, telah menyertai kami dari Newcastle United menerusi kontrak jangka panjang," menurut Arsenal dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun dengan pilihan lanjutan semusim lagi, manakala media Britain melaporkan nilai perpindahan itu dianggarkan sekitar AS$101.16 juta.

"Bruno menyertai kami selepas membuktikan dirinya sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam Liga Perdana Inggeris," menurut kelab dari utara London itu.

Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta, memuji kemampuan serba boleh pemain tengah itu dan berkata kehadirannya akan memperkukuh skuad kendalian Mikel Arteta.

"Seperti yang kita saksikan, Bruno mampu beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan juga pemain tengah box-to-box. Beliau menggabungkan kualiti dan kuantiti, selain menyumbang jaringan dan bantuan gol kepada pasukannya setiap tahun.

"Bruno akan membolehkan Mikel terus mengembangkan corak permainan kami dan pada masa sama meningkatkan persaingan dalam pasukan, yang amat penting untuk mengekalkan standard yang diperlukan bagi memburu kejuaraan utama," kata Berta.

Guimaraes menyertai Newcastle dari kelab Perancis, Olympique Lyonnais, pada Januari 2022 dan membuat 195 penampilan dalam semua kejohanan dengan menjaringkan 31 gol.

Beliau mengetuai Newcastle menjuarai Piala Liga pada 2025, sekali gus membantu kelab itu meraih trofi domestik utama pertama dalam tempoh 70 tahun.

Pemergian Guimaraes merupakan satu lagi tamparan buat Newcastle selepas pemergian Anthony Gordon dan Sandro Tonali, selain peletakan jawatan pengurus Eddie Howe yang digantikan oleh jurulatih dari Jerman, Matthias Jaissle.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement