Skip to main content

Sukan

Kane, Haaland, Messi tersenarai calon Ballon d'Or 2026

[TB]_Harry Kane Erling Braut Haaland Lionel Messi_REUTERS
(Dari kiri) Harry Kane, Erling Haaland dan Lionel Messi disenaraikan dalam kelompok 30 calon bagi anugerah Ballon d'Or Lelaki 2026. REUTERS
Advertisement

LONDON: Harry Kane, Erling Haaland dan Lionel Messi disenaraikan dalam kelompok 30 calon bagi anugerah Ballon d'Or Lelaki 2026, manakala penjaga gol Cape Verde, Vozinha, menerima pencalonan bagi Trofi Yashin, umum majalah France Football pada Selasa.

Kane menikmati musim luar biasa bersama Bayern Munich dan England apabila meledak 73 gol dalam 65 perlawanan bagi kelab dan negara.

Kapten England itu turut membantu Bayern meraih trebel domestik menerusi kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman dan Piala Super Jerman, selain memimpin England mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Haaland pula menjaringkan 58 gol dalam 64 penampilan bersama Manchester City dan Norway, manakala Messi yang sudah lapan kali memenangi Ballon d'Or merekodkan 75 sumbangan gol dalam 49 perlawanan bersama Inter Miami dan Argentina.

Pemenang Piala Dunia 2022 itu turut memainkan peranan penting membantu Argentina mara ke final Piala Dunia edisi terkini.

Turut berada dalam senarai pendek ialah Jude Bellingham, Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Lamine Yamal.

Bagaimanapun, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo gagal tersenarai meskipun membantu Al-Nassr menjulang kejuaraan Liga Pro Saudi musim ini.

Bagi kategori wanita, antara calon utama termasuk penyerang Poland yang beraksi bersama Barcelona, Ewa Pajor, yang memenangi empat gelaran musim ini.

Turut tercalon ialah Alexia Putellas yang sebelum ini mewakili Barcelona dan Sepanyol sebelum menyertai London City Lionesses, serta penyerang Jamaica milik Manchester City, Khadija "Bunny" Shaw.

Sementara itu, Vozinha menerima pencalonan bagi Trofi Yashin yang dianugerahkan kepada penjaga gol terbaik dunia selepas mempamerkan aksi cemerlang di Piala Dunia.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu membantu Cape Verde melepasi peringkat kumpulan kejohanan berkenaan dan menjadi antara 10 calon akhir untuk anugerah tersebut.

Beliau bakal bersaing dengan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, yang muncul juara Piala Dunia, serta Emiliano Martinez dari Argentina.

Dua lagi penjaga gol Afrika yang turut menerima pencalonan ialah Yassine Bounou dari Maghribi dan Edouard Mendy dari Senegal.

Majlis penganugerahan Ballon d'Or edisi ke-70 akan berlangsung di London buat kali pertama pada 26 Oktober depan sebagai penghormatan kepada Stanley Matthews, pemenang pertama anugerah berprestij itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement