KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit untuk mengikat Australia 2-2 dalam aksi dramatik yang tertangguh selama dua jam akibat cuaca buruk pada aksi kedua kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos, semalam.
Dalam aksi Kumpulan H di Stadium Nasional Lao KM16 itu, Australia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Marcus Neill yang melakukan tapping di hadapan gawang selepas menerima hantaran tandukan Lewis Domenic Marinucci.
Australia terus memberikan tekanan dan hampir menggandakan kelebihan dua minit kemudian apabila Neill memperoleh peluang menerusi hantaran rakan sepasukan, namun percubaannya tidak menepati sasaran.
Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Muhammad Syazani Yussairi Yusnazairi yang menyambar bola daripada sepakan penjuru Tengku Hasyri Shah Meerza, namun rembatannya tersasar.
Ketika Australia masih menguasai rentak permainan, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-31 berikutan hujan lebat dan kilat.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlawanan hanya disambung semula selepas ditangguhkan selama dua jam berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Selepas aksi bersambung, Malaysia tampil lebih agresif dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fadhlul Hadi Zulkarnain pada minit ke-50 sebelum Izzuddin Afif Nazarudin meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-70.
Bagaimanapun, kemenangan yang diidamkan Malaysia tidak kesampaian apabila Alaat Abdul-Rahman muncul penyelamat Australia menerusi gol penyamaan pada minit ke-82 untuk memastikan keputusan muktamad 2-2.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul dua mata selepas turut seri tanpa jaringan dengan Indonesia pada 31 Ogos lalu.
Dalam saingan kelayakan itu, juara setiap kumpulan serta tujuh pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir.
Skuad negara akan menamatkan kempen Kumpulan H dengan menentang tuan rumah Laos pada Ahad ini.
-- BERNAMA