BERLIN: Krisis bola sepak Jerman berpunca daripada masalah yang lebih mendalam dan berpanjangan, bukan semata-mata akibat penyingkiran pasukan itu pada pusingan 32 Piala Dunia baru-baru ini, kata bekas kapten skuad kebangsaan Philipp Lahm.
Dalam kolumnya yang disiarkan akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, Lahm berkata terlalu banyak eksperimen dilakukan, kepimpinan pula tidak mencukupi dan Jerman tidak lagi mempunyai jurulatih terkemuka ketika negara itu semakin tercicir daripada kelompok negara bola sepak terbaik.
“Kita telah ketinggalan selama 10 tahun kerana tidak menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa. Sebaliknya, Kita terus memilih pendekatan tersendiri, yang terbaharu dengan menghidupkan semula sistem kawalan individu dalam Bundesliga,” tulis juara Piala Dunia 2014 itu.
“Jika kita terus berbuat demikian, kita akan terus gagal. Jerman memilih haluan yang berbeza daripada negara-negara lain di dunia dan tidak menyesuaikan diri,” katanya.
Selain mengkritik aspek kejurulatihan dan pembangunan bakat dalam bola sepak Jerman, Lahm turut menyifatkan kekurangan kesinambungan sebagai kelemahan yang membezakan pasukan itu daripada pasukan-pasukan elit dunia.
“Pemain kerap diturunkan di pelbagai posisi yang tidak sesuai, manakala sistem permainan pula sering diubah,” katanya.
Lahm berkata, eksperimen itu “sentiasa menjadi kritikan saya terhadap Julian Nagelsmann. Bagi saya, perkara yang paling penting ialah kejelasan dan keteraturan.”
Nagelsmann meletak jawatan sebagai jurulatih beberapa hari selepas Jerman tersingkir pada pusingan 32 susulan kekalahan kepada Paraguay. Bekas pengendali Borussia Dortmund dan Liverpool, Jurgen Klopp dijangka mengambil alih jawatan itu.
Menyentuh aspek kejurulatihan, Lahm berkata: “Apa yang telah hilang di Jerman sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam pelantikan jurulatih ialah kepakaran bola sepak dan pengalaman sendiri di peringkat tertinggi.
“Apa yang hilang ialah bekas pemain profesional yang terus mengembangkan kemahiran dari segi metodologi, meluangkan masa mempelajari profesion itu dari peringkat asas dan berusaha mencapai kecemerlangan selama bertahun-tahun.”
Beliau memetik jurulatih Perancis Didier Deschamps, Carlo Ancelotti dari Itali yang kini mengendalikan Brazil, serta jurulatih Sepanyol Mikel Arteta dari Arsenal, Pep Guardiola yang sebelum ini mengendalikan Manchester City dan Xabi Alonso dari Chelsea sebagai contoh pengendali bertaraf dunia.
Lahm berkata Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) juga kurang menunjukkan kepimpinan dalam aspek itu.
“DFB menggambarkan akademinya sebagai tempat untuk pertukaran pandangan dan perbincangan serta tidak melihat dirinya sebagai pihak berkuasa yang menetapkan hala tuju,” tulis Lahm.
Lahm turut mengkritik tindakan kelab-kelab Jerman yang, menurut beliau, banyak menandatangani pemain asing yang berkualiti tetapi bukan bertaraf cemerlang.
“Pendekatan ini merupakan cara mudah untuk mengekalkan tahap keseluruhan pasukan. Namun, ia menghalang pembangunan kerana pemain muda tempatan tidak mendapat peluang,” katanya.
-- BERNAMA-dpa