Skip to main content

Sukan

LaLiga: Girona lakar kejutan, tumbangkan Barcelona!

Soccer Football - LaLiga - Girona v FC Barcelona - Estadi Montilivi, Girona, Spain - February 16, 2026 Girona's Fran Beltran celebrates scoring their second goal REUTERS/Bruna Casas
Girona melakar kejutan besar dalam saingan LaLiga apabila menewaskan Barcelona 2-1 pagi tadi. - Foto Reuters

GIRONA melakar kejutan besar dalam saingan LaLiga apabila menewaskan Barcelona 2-1 di Montilivi awal pagi tadi.

Lamine Yamal gagal menyempurnakan sepakan penalti dan skuad kendalian Hansi Flick itu berang dengan gol kontroversi pada lewat permainan, yang mengakibatkan pasukan gergasi Catalan itu keciciran mata penting dalam perebutan kedudukan teratas dengan seteru tradisi, Real Madrid.

Advertisement

Pelawat menguasai penuh permainan dalam separuh masa pertama dan harus menyalahkan diri sendiri atas beberapa peluang keemasan yang gagal disempurnakan, termasuk sepakan penalti Yamal yang terkena tiang, sehingga terikat tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.

Kebuntuan itu hanya terurai pada minit ke-60 apabila Pau Cubarsi menanduk masuk lintangan Jules Kounde sebagai gol pembukaan.

Namun, pendahuluan itu hanya bertahan seminit apabila Girona menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah Thomas Lemar, yang memanfaatkan kesilapan Cubarsi.

Girona selepas itu tampil lebih dominan dan memaksa penjaga gol, Joan Garcia, bekerja keras mempertahankan benteng Barca tetapi dia akhirnya tewas juga oleh jaringan Fran Beltran pada minit ke-87.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) menunjukkan ada kekasaran dilakukan ke atas Kounde menjelang jaringan itu tetapi gol berkenaan tetap disahkan, sekali gus mencetuskan amarah di kem Barca.

Robert Lewandowski hampir menyamakan kedudukan buat Barca pada penghujung permainan tetapi jaringannya dibatalkan kerana didapati berada di kedudukan ofsaid, sekali gus mengesahkan kejutan Girona. -- Stadium Astro

Must Watch Video