Skip to main content

Sukan

Legenda F1 Alain Prost cedera dalam rompakan rumah oleh kumpulan bertopeng

 Former F1 driver Alain Prost arrives before the third free practice at the Monaco racetrack in Monaco, May 25, 2024, ahead of the Monaco Grand Prix Formula One race. (AP Photo/Luca Bruno, File)
Alain Prost memenangi empat gelaran juara dunia Formula 1. - Foto AP

GENEVA: Legenda Formula 1, Alain Prost, dilaporkan mengalami kecederaan di kepala selepas rumahnya menjadi sasaran rompakan oleh sekumpulan individu bertopeng, menurut laporan media Switzerland.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di kediaman bekas juara dunia empat kali dari Perancis itu di Nyon, kira-kira 25 kilometer di utara Geneva.

Pihak polis mengesahkan bahawa sebuah keluarga telah disasarkan dalam kejadian rompakan sekitar jam 8.30 pagi pada Selasa, namun tidak mendedahkan identiti mangsa yang terlibat.

Dalam satu kenyataan, polis kanton Vaud memaklumkan bahawa beberapa individu bertopeng telah menceroboh masuk ke dalam rumah tersebut sebelum mengancam penghuni.

“Beberapa individu bertopeng memasuki kediaman itu. Setelah berada di dalam, mereka mengugut penghuni dan mencederakan ringan seorang ahli keluarga di bahagian kepala, dalam keadaan yang masih disiasat,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut polis, perompak kemudiannya memaksa seorang lagi ahli keluarga untuk membuka peti simpanan sebelum melarikan diri. Nilai barangan yang dicuri masih dalam proses penilaian.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa melancarkan operasi pencarian berskala besar yang melibatkan kerjasama antara polis Switzerland, Perancis serta pasukan keselamatan sempadan.

Pasukan sokongan psikologi turut disediakan bagi membantu keluarga mangsa yang terkesan akibat insiden berkenaan.

Alain Prost, 71, merupakan antara pelumba paling berjaya dalam sejarah Formula 1, dengan memenangi kejuaraan dunia pada tahun 1985, 1986, 1989 dan 1993.

Sepanjang karier selama 13 tahun, beliau pernah berlumba bersama pasukan ternama seperti McLaren, Renault, Ferrari dan Williams.

Prost kekal sebagai salah seorang pelumba paling berjaya dalam sejarah sukan permotoran, hanya diatasi oleh beberapa nama besar seperti Michael Schumacher dan Lewis Hamilton yang masing-masing memenangi tujuh gelaran dunia, serta Juan Manuel Fangio dengan lima kejuaraan.

Insiden itu kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

 

Must Watch Video

Advertisement