PRISTINA: Pemain tengah skuad kebangsaan Republik Ireland, Jason Knight, menjadi pemain pertama pasukan itu yang secara terbuka menyatakan bahawa perlawanan bola sepak antarabangsa menentang Israel tidak sepatutnya diteruskan.
Pendirian itu disuarakan menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA di antara kedua-dua pasukan yang dijadual berlangsung di gelanggang berkecuali di Debrecen, Hungary, Ahad ini.
Perlawanan berkenaan mencetuskan perdebatan di Ireland susulan kempen Stop The Game, yang menggesa supaya skuad kebangsaan memboikot perlawanan itu berikutan konflik berterusan di Gaza.
Setakat ini, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) masih membenarkan Israel mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa di bawah kelolaannya.
Selepas kekalahan 1-0 Ireland kepada Kosovo di Pristina pada Khamis, Knight berkata para pemain akan mengadakan perbincangan lebih mendalam bagi menentukan pendirian bersama berhubung perlawanan menentang Israel.
"Saya tidak fikir perlawanan itu sepatutnya diteruskan, tetapi ia tetap akan berlangsung.
"Kami akan berbincang dengan lebih mendalam mengenai perkara itu dan melihat pandangan pasukan sebelum membuat keputusan seterusnya," katanya.
Knight berkata situasi itu amat luar biasa kerana kebanyakan pemain tidak pernah berdepan keadaan seumpamanya sebelum ini.
Namun beliau berhasrat untuk terus memberi tumpuan kepada bola sepak sambil menyuarakan pandangannya pada masa yang sesuai.
Sebelum ini, pengurus Ireland, Heimir Hallgrimsson, berkata beberapa pemain berasa tidak selesa untuk mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Israel, sekali gus menjadikan isu tersebut antara topik utama menjelang aksi berkenaan.