Skip to main content

Sukan

Pegawai kanan FIFA dipecat selepas kritik pelan Infantino

Sumber: REUTERS
COO FIFA, Kevin Lamour dipecat badan induk bola sepak dunia itu kurang tiga minggu selepas beliau secara terbuka mengkritik Presiden FIFA, Gianni Infantino, berhubung rancangan kontroversi untuk menjual pegangan dalam kejohanan bola sepak kepada pelabur swasta. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

ZURICH: Ketua Pegawai Operasi (COO) Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Kevin Lamour dipecat badan induk bola sepak dunia itu kurang tiga minggu selepas beliau secara terbuka mengkritik Presiden FIFA, Gianni Infantino, berhubung rancangan kontroversi untuk menjual pegangan dalam kejohanan bola sepak kepada pelabur swasta.

Dalam satu kenyataan, jurucakap FIFA hanya mengesahkan bahawa hubungan pekerjaan antara FIFA dan Lamour berakhir pada 17 Ogos 2026.

"FIFA mengucapkan terima kasih kepada Kevin atas khidmat beliau selama dua tahun dan mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Kakitangan FIFA dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut menerusi e-mel yang dihantar Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, pada Isnin. 

Dalam e-mel itu, Grafstrom memaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berpisah secara baik.

Bulan lalu, Lamour mengkritik rancangan kontroversi FIFA Forward Enterprise (FFE), menyifatkannya sebagai "projek seorang individu" dan menegaskan sudah tiba masanya pemimpin politik bola sepak membuat pertimbangan serta keputusan yang betul.

Beliau turut mendakwa, pentadbiran FIFA sendiri telah "dikelirukan" mengenai projek tersebut yang kini telah dibatalkan.

"Misi kami, iaitu misi ratusan kakitangan FIFA yang berdedikasi dan komited, adalah untuk berkhidmat kepada bola sepak.

"Seorang Presiden sepatutnya menyatukan orang ramai, membina perpaduan dan memberikan inspirasi. Namun hari ini, kami melihat perkara yang sebaliknya berlaku," katanya.

Lamour turut mengakui, beliau mempunyai tanggungjawab kesetiaan kepada majikannya, tetapi pada masa sama perlu mempertahankan nilai tertentu dan menyokong rakan sekerja.

"Jika itu menyebabkan saya kehilangan pekerjaan, biarlah. Saya akan memahami dan menghormati keputusan itu. Sekurang-kurangnya saya boleh tidur lena malam ini," katanya ketika itu.

Lamour menyertai FIFA pada November 2024 selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung UEFA. 

Dalam struktur organisasi FIFA, beliau berada dua peringkat di bawah Infantino.

Awal bulan ini, Infantino dilaporkan menerima sokongan daripada barisan eksekutif kanan dalam satu mesyuarat di Maghribi. 

Namun, menurut sumber, Lamour tidak dijemput menghadiri pertemuan tersebut.

Usaha mendapatkan reaksi Lamour berhubung pemecatan itu sedang dilakukan.

Dalam surat yang dihantar kepada ahli Majlis FIFA, Grafstrom menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan antara kedua-dua pihak.

"Saya ingin memaklumkan perkembangan penting berkaitan perubahan dalam pentadbiran FIFA.

"Selepas beberapa perbincangan, FIFA dan Ketua Pegawai Operasi kami, Kevin Lamour, telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing. Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan teliti dan dengan penghormatan tinggi terhadap Kevin, baik dari sudut peribadi mahupun profesional.

"Saya merasakan penting untuk memaklumkan perkara ini secara peribadi kepada anda semua. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kevin atas sumbangan, kerja keras dan komitmen beliau kepada FIFA setiap hari. 

"Saya mendoakan yang terbaik buat beliau pada masa hadapan," tulis Grafstrom. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement