YONG PENG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor meminta orang ramai dan pihak media memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat petang tadi.
Ia susulan penularan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan mencurigakan di kawasan dewan sekolah berkenaan ketika menghadiri kelas bimbingan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya masih dalam proses mengumpulkan fakta serta maklumat tepat berhubung kejadian terbabit dan terlalu awal untuk mengesahkan sebarang spekulasi yang sedang berlegar.
"Kita masih dalam proses dapatkan maklumat tersebut. Macam pemberita juga kena dapatkan maklumat. Saya tak boleh bercakap betul ke tak betul sebab kami masih dapatkan maklumat.
"Saya tak mengesahkan apa benda sebab kami sedang dapatkan maklumat. Terlampau awal untuk mengesahkan suatu kes kalau tak dapat satu. Kami sedang dapatkan maklumat, kalau betul kami panggil esok.
"Bagi peluang kepada kami untuk jalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Sabtu.
Terdahulu, tular dakwaan mengenai penemuan seorang pelajar Tingkatan Empat yang terbaring dengan kesan kecederaan fizikal sebelum disahkan meninggal dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Sebarang perkembangan lanjut serta klasifikasi rasmi kes dijangka dimaklumkan oleh pihak polis sebaik sahaja proses siasatan awal di lokasi kejadian selesai.