Skip to main content

Dunia

Wanita PBB beri amaran jutaan lagi wanita dan kanak-kanak perempuan terdedah ancaman ketakjaminan makanan

Negara yang berkepadatan penduduk tinggi mencatatkan bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan paling ramai berisiko berdepan masalah ketakjaminan makanan, manakala negara seperti Sudan, Sudan Selatan, Yaman, Palestin dan Haiti menghadapi tahap risiko yang tinggi berikutan kesan konflik berterusan, perpindahan penduduk serta kerentanan ekonomi. - Gambar fail
Negara yang berkepadatan penduduk tinggi mencatatkan bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan paling ramai berisiko berdepan masalah ketakjaminan makanan, manakala negara seperti Sudan, Sudan Selatan, Yaman, Palestin dan Haiti menghadapi tahap risiko yang tinggi berikutan kesan konflik berterusan, perpindahan penduduk serta kerentanan ekonomi. - Gambar fail

Advertisement

RAMALLAH: Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Wanita PBB) memberi amaran bahawa 11.7 juta lagi wanita dan kanak-kanak perempuan di 28 negara berdepan ancaman ketakjaminan makanan menjelang akhir tahun ini berikutan kesan buruk daripada ketegangan yang berterusan di Asia Barat serta gangguan di Selat Hormuz yang melonjakkan harga makanan dan menjejaskan mata pencarian, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Dalam analisis baharu itu, agensi berkenaan memaklumkan bahawa kira-kira 22 juta lagi penduduk berkemungkinan menghadapi masalah ketakjaminan makanan di bawah senario berimpak sederhana, dengan wanita dan kanak-kanak perempuan merangkumi 53 peratus daripada jumlah itu.

Kumpulan ini akan menyertai kira-kira 208 juta wanita dan kanak-kanak perempuan yang sedia ada mengalami masalah ketakjaminan makanan atau kekurangan zat makanan di negara-negara yang diliputi dalam kajian itu.

Timbalan Pengarah Eksekutif Wanita PBB Neradzayi Gumbonzvanda berkata negara yang berkepadatan penduduk tinggi mencatatkan bilangan wanita dan kanak-kanak perempuan paling ramai berisiko berdepan masalah ketakjaminan makanan, manakala negara seperti Sudan, Sudan Selatan, Yaman, Palestin dan Haiti menghadapi tahap risiko yang tinggi berikutan kesan konflik berterusan, perpindahan penduduk serta kerentanan ekonomi.

Beliau menekankan bahawa wanita dan kanak-kanak perempuan sering memikul beban terbesar ketika krisis makanan, dengan mengurangkan pengambilan makanan atau tidak makan demi memenuhi keperluan ahli keluarga yang lain, di samping terus berdepan jurang dalam pekerjaan, akses kepada perkhidmatan kewangan dan sumber ekonomi.

Wanita PBB menggesa tindak balas bersepadu yang merangkumi pemerkasaan bantuan makanan dan tunai, program perlindungan dan mata pencarian, serta sokongan pertanian; mengagihkan sumber ke kawasan yang paling rentan; dan meningkatkan pengumpulan data mengenai keadaan wanita dan kanak-kanak perempuan bagi mengenal pasti golongan yang paling terjejas.

Gumbonzvanda menegaskan bahawa menangani krisis berkenaan bukan sahaja memerlukan usaha kemanusiaan, tetapi juga keamanan dan keselamatan, penurunan tahap ketegangan, serta sokongan terhadap penyelesaian diplomatik yang mampu memupuk kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement