ISTANBUL: Pemain bola sepak Iraq, Aymen Hussein disoal siasat selama tujuh jam selepas tiba di Chicago, Amerika Syarikat (AS) menjelang penyertaan pasukan itu dalam Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media Iraq pada Sabtu.
Menurut laporan berkenaan, insiden itu berlaku sebaik pasukan kebangsaan Iraq tiba di Lapangan Terbang Chicago.
Ketika anggota skuad lain dibenarkan meninggalkan lapangan terbang, penyerang utama Aymen Hussein dilaporkan ditahan bagi tujuan pengesahan tambahan dan pemeriksaan keselamatan.
Anggota delegasi Iraq kemudian bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk menyelesaikan perkara itu, namun pasukan berkenaan akhirnya kembali ke kem latihan mereka tanpa penyerang itu.
Selepas menjalani soal siasat dan prosedur pentadbiran selama tujuh jam, Hussein dibebaskan dan kembali menyertai rakan sepasukannya, menurut laporan itu.
Iraq dijadual menentang Venezuela dalam perlawanan persahabatan terakhir pada 9 Jun sebagai persiapan menjelang kempen mereka di Piala Dunia FIFA 2026.
-- BERNAMA-ANADOLU