Skip to main content

Dunia

Pentagon didakwa naikkan tahap ancaman pengintipan Israel ke ‘kritikal’

US ISRAEL FLAG_AWANI
Israel menafikan keras dakwaan tersebut, dengan seorang jurucakap kedutaannya di Washington menyifatkan tuduhan itu sebagai “tidak benar sama sekali”.

WASHINGTON: Agensi risikan di bawah Pentagon dilaporkan telah menaikkan tahap ancaman pengintipan Israel terhadap Amerika Syarikat (AS) daripada “tinggi” kepada “kritikal” dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut laporan media AS.

Perkara itu pertama kali dilaporkan oleh NBC News sebelum disusuli laporan The New York Times, yang memetik sumber tanpa nama dalam kalangan pegawai AS.

Menurut laporan tersebut, peningkatan tahap ancaman itu dibuat oleh Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) susulan kebimbangan terhadap taktik pengintipan yang dikatakan semakin agresif, khususnya berkaitan konflik AS-Israel dengan Iran.

Sumber itu mendakwa Israel dipercayai meningkatkan usaha memantau pegawai kanan AS bagi mendapatkan maklumat mengenai perbincangan dalaman White House berhubung strategi menamatkan perang di Asia Barat.

Penilaian tersebut turut menyatakan keupayaan Israel dalam pengintipan manusia dan teknikal kini berada pada tahap “kritikal”, selain merujuk kepada beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan pihak AS.

Laporan turut menyebut bahawa beberapa pegawai kanan termasuk utusan khas AS, Steve Witkoff, serta pegawai kanan Pentagon dipercayai menjadi sasaran pemantauan.

Perkembangan itu berlaku ketika wujud perbezaan pendirian antara Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung pendekatan terhadap perang dengan Iran.

Trump dilaporkan cenderung untuk menamatkan konflik melalui rundingan, manakala Netanyahu menyokong penerusan tindakan ketenteraan walaupun gencatan senjata diumumkan pada April lalu.

Bagaimanapun, Israel menafikan keras dakwaan tersebut, dengan seorang jurucakap kedutaannya di Washington menyifatkan tuduhan itu sebagai “tidak benar sama sekali” dan menegaskan Israel tidak mengintip sekutunya.

Seorang pegawai White House turut menolak laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak tepat, manakala Pentagon pula enggan mengulas lanjut.

Walaupun pengintipan antara negara sekutu bukanlah sesuatu yang luar biasa, pegawai AS menyatakan tahap aktiviti terkini yang dikaitkan dengan Israel dilihat melebihi kebiasaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap hubungan rapat keselamatan dan risikan antara kedua-dua negara.
 

Must Watch Video

Advertisement