Skip to main content

Sukan

Perancis tewaskan Sweden 3-0, Mbappe kini seiring rekod Messi di Piala Dunia

-France's Kylian Mbappe (10) celebrates their first goal with Ousmane Dembele, left, during the World Cup round of 32 soccer match between France and Sweden in East Rutherford, N.J., near New York, Tuesday, June 30, 2026. (AP Photo/Adam Hunger)
Kylian Mbappe dari Perancis (kanan) meraikan gol pembukaan pasukannya bersama Ousmane Dembele semasa perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia antara Perancis dan Sweden di East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York. - Foto AP
Advertisement

NEW JERSEY: Kylian Mbappe meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Sweden 3-0 dalam saingan pusingan 32 terbaik Piala Dunia bagi mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik bertemu Paraguay.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey dan disaksikan lebih 80,000 penonton, Perancis mempamerkan aksi dominan sepanjang permainan dengan menguasai sebahagian besar penguasaan bola serta mencipta banyak peluang jaringan.

Mbappe membuka jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama selepas menyempurnakan gerakan menarik yang direncana rakan sepasukan.

Sebelum itu, Perancis telah dua kali terkena tiang gol menerusi Mbappe dan Michael Olise.

Pemain sayap Crystal Palace, Michael Olise, sekali lagi menjadi watak penting apabila mencipta gol kedua untuk Bradley Barcola pada minit ke-53.

Beliau kemudian menghadiahkan satu lagi hantaran berkualiti kepada Mbappe yang menyempurnakan gol ketiga Perancis pada minit ke-74.

Dua gol yang dijaringkan Mbappe menyaksikan kapten Perancis itu kini mengumpul enam gol dalam perebutan Kasut Emas Piala Dunia, menyamai jumlah jaringan Lionel Messi pada kejohanan kali ini.

Lebih mengagumkan, Mbappe kini memiliki 18 gol keseluruhan dalam sejarah Piala Dunia, hanya satu gol di belakang rekod 19 gol yang dipegang Messi.

Pada usia 27 tahun, penyerang itu masih berpeluang besar untuk memecahkan rekod berkenaan.

Mbappe meraikan gol pembukaannya dengan memeluk jurulatih Didier Deschamps, yang sebelum ini terlepas aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Norway kerana pulang ke Perancis selepas kematian ibunya.

Deschamps dijadual meninggalkan pasukan kebangsaan selepas tamat kejohanan ini, sekali gus menamatkan tempoh 14 tahun yang penuh kejayaan sebagai ketua jurulatih.

Beliau sebelum ini mengetuai Perancis muncul juara dunia sebagai pemain pada 1998 dan mengulangi pencapaian itu sebagai jurulatih pada 2018.

Perancis dijangka meneruskan kemaraan apabila berdepan Paraguay dalam pusingan 16 terbaik di Philadelphia pada Sabtu ini.

Mbappe dan Olise sekali lagi menjadi tunjang utama pasukan, manakala Ousmane Dembele turut mempamerkan beberapa aksi berkualiti sepanjang perlawanan.

Bradley Barcola pula membalas kepercayaan jurulatih dengan satu gol penting.

Di pihak Sweden, trio penyerang yang beraksi di Liga Perdana Inggeris iaitu Viktor Gyokeres, Alexander Isak dan Anthony Elanga gagal memberikan impak besar akibat kekurangan penguasaan bola.

Pasukan bimbingan Graham Potter itu akhirnya tersingkir walaupun kejayaan mara ke pusingan kalah mati dianggap satu pencapaian positif selepas mereka layak menerusi laluan play-off.

Perancis hampir mendahului lebih awal apabila jaringan Mbappe pada minit ke-20 dibatalkan kerana ofsaid, namun tekanan berterusan skuad Les Bleus akhirnya membuahkan hasil menjelang waktu rehat.

Dengan kemenangan meyakinkan itu, Perancis muncul antara pasukan pilihan utama untuk menjulang trofi Piala Dunia, manakala Paraguay bakal berdepan tugas sukar bagi mengekang jentera serangan Perancis yang kini berada pada prestasi terbaik.
 

 

Must Watch Video

Advertisement