WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka berdepan gelombang haba berpanjangan dan berbahaya minggu ini dengan suhu amat tinggi, kelembapan melampau serta cuaca panas yang berterusan pada waktu malam ketika rakyat negara itu bersiap sedia menyambut cuti Hari Kemerdekaan pada 4 Julai.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) memaklumkan kira-kira 120 juta penduduk kini berada di bawah amaran haba melampau, dengan keadaan cuaca panas dijangka melanda kawasan luas dari Pantai Timur hingga ke bahagian tengah negara.
Menurut ramalan, fenomena “kubah haba” yang memerangkap udara panas di atmosfera akan menyebabkan suhu memuncak di wilayah Midwest dan Lembah Mississippi sehingga Khamis sebelum bergerak ke Lembah Ohio dan Pantai Timur menjelang hujung minggu.
Suhu dijangka mencecah antara 35 hingga 40.6 darjah Celsius, manakala gabungan kelembapan tinggi boleh menyebabkan indeks haba meningkat kepada 38 hingga 46 darjah Celsius, menjadikan keadaan lebih membebankan kepada penduduk.
Pihak berkuasa cuaca turut menjangkakan beberapa rekod suhu harian akan dipecahkan pada Khamis dan Jumaat, malah tidak menolak kemungkinan rekod bulanan serta rekod tertinggi sepanjang masa di sesetengah kawasan turut dicatatkan.
Susulan itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya serta mendapatkan akses kepada penghawa dingin atau pusat penyejukan yang disediakan pihak berkuasa.
Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, telah mengaktifkan pelan kecemasan haba dengan ratusan pusat penyejukan dijadual dibuka di seluruh bandar mulai Rabu.
Di Detroit pula, lebih sedozen pusat rekreasi berhawa dingin dibuka kepada orang ramai ketika suhu dijangka menghampiri 38 darjah Celsius.
Keadaan cuaca ekstrem itu juga dijangka memberi kesan kepada beberapa perlawanan Piala Dunia, apabila indeks haba berpotensi melepasi paras yang dianggap tidak selamat oleh kesatuan pemain global, FIFPRO.
Texas dijangka merekodkan cuaca paling panas, yang boleh menjejaskan penyokong yang berulang-alik ke stadium berhawa dingin di Houston dan Arlington.
Bandar Atlanta juga dijangka mengalami cuaca panas serta lembap ketika perlawanan England menentang Republik Demokratik Congo berlangsung.
Di Philadelphia, sebahagian kawasan Festival Peminat Piala Dunia FIFA akan dipindahkan ke khemah berhawa dingin bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada pengunjung.
Sementara itu, Kanada turut mengalami gelombang haba dengan suhu di Ontario dijangka mencecah 37 darjah Celsius sehingga Khamis.
Toronto, yang dijadual menjadi tuan rumah satu perlawanan Piala Dunia, diramal mencatat suhu sekitar 35 darjah Celsius pada hari perlawanan.
Pihak berkuasa Kanada telah mengeluarkan amaran haba tahap oren di Ontario, manakala amaran tahap kuning dikuatkuasakan di beberapa kawasan lain termasuk Montreal ketika negara itu berdepan cuaca panas luar biasa.