Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Senegal berpesta gol 5-0 ke atas Iraq, hidupkan harapan ke pusingan kalah mati

Senegal's Pape Gueye (26) celebrates their third goal during the World Cup Group I soccer match between Senegal and Iraq in Toronto, Friday, June 26, 2026. (AP Photo/Stephanie Scarbrough)
Pemain Senegal, Pape Gueye (26), meraikan gol ketiga pasukannya dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia Kumpulan I antara Senegal dan Iraq. - Foto AP
Advertisement

TORONTO: Senegal mengekalkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas membelasah Iraq 5-0 dalam aksi Kumpulan I di Stadium Toronto pada Jumaat.

Kemenangan besar itu turut memberikan kelebihan dari segi perbezaan jaringan buat Lions of Teranga, yang menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan dengan tiga mata dan perbezaan gol +2.

Tumpuan perlawanan terarah kepada pemain tengah Senegal, Pape Gueye, yang menjaringkan dua gol menarik dari jarak jauh pada separuh masa kedua.

Gueye terlebih dahulu meledak gol pada minit ke-59 menerusi rembatan lencong kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil, sebelum menambah satu lagi jaringan pada minit ke-71 melalui sepakan separa voli yang padu.

Iraq berdepan laluan sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-13, selepas pertahanan Rebin Sulaka dilayangkan kad merah kerana menghalang peluang jaringan jelas.

Pengadil pada awalnya hanya melayangkan kad kuning, namun keputusan ditukar selepas semakan VAR.

Senegal yang sudah mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan Habib Diarra, gagal menambah kelebihan pada separuh masa pertama walaupun memiliki kelebihan pemain.

Namun, selepas rehat, mereka tampil lebih agresif. Ismaila Sarr memulakan pesta gol separuh masa kedua pada minit ke-56, sebelum Gueye menambah dua jaringan berturut-turut.

Iliman Ndiaye melengkapkan kemenangan bergaya Senegal dengan gol kelima pada minit ke-82 menerusi rembatan jarak jauh.

Kemenangan ini meletakkan Senegal dalam kedudukan baik sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik, namun nasib mereka masih bergantung kepada keputusan perlawanan kumpulan lain.

Ketika ini, Senegal berada dalam kelompok lima terbaik pasukan tempat ketiga, tetapi beberapa pasukan lain masih belum menamatkan perlawanan terakhir masing-masing.

Sebaliknya, kekalahan ini menyaksikan Iraq tersingkir selepas kalah dalam kesemua tiga perlawanan kumpulan, sekali gus menamatkan kempen Piala Dunia mereka yang pertama sejak 1986.

Prestasi hambar itu turut menonjolkan kelemahan pasukan tersebut dalam menghadapi tekanan, khususnya selepas kehilangan seorang pemain di awal permainan.

 

Must Watch Video

Advertisement