KUALA LUMPUR: Skuad remaja kebangsaan menamatkan saingan di tempat keenam Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia Wanita 2026 selepas tewas kepada Bangladesh dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Moqi, China hari ini.
Kekalahan itu sekali gus meranapkan impian skuad remaja wanita untuk merebut satu daripada lima tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.
Dalam aksi yang berlangsung di Moqi Training Base, Hulunbuir, skuad Bangladesh memperoleh jaringan pada minit ke-31 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Kona Akter memperkukuh kedudukan pada minit ke-50 menerusi jaringan padang.
Gol tunggal Malaysia diperoleh menerusi jaringan padang Irdina Humaira Jeffrey pada minit ke-59.
Skuad remaja wanita kebangsaan sebelum ini terkandas di suku akhir selepas tewas 0-1 kepada Korea Selatan pada Khamis (10 Sept).
-- BERNAMA