KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan meraih satu pingat gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan dalam WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026.
Anwar berkata, pencapaian itu merupakan yang terbaik bagi kontinjen negara dalam pertandingan berkenaan sejak 1995.
“Tahniah kepada 22 anak muda yang telah menampilkan kehebatan dan kemahiran dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), sekali gus mengharumkan nama negara.
“Teruskan mengasah kemahiran dan mengejar kecemerlangan. Kalian kebanggaan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut memberikan penghargaan khusus kepada Sia Xin Wan, yang meraih pingat gangsa dalam kategori Pengujian Perisian serta menerima anugerah Best of Nation.
WSC Shanghai 2026 menyaksikan kontinjen Malaysia yang diwakili 22 peserta bertanding dalam 21 bidang kemahiran merangkumi pelbagai sektor teknikal, di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Kerja Raya.
Kejohanan itu yang berlangsung dari 22 hingga 27 Sept menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran dari 65 negara dan wilayah, yang bertanding dalam 64 bidang kemahiran.
-- BERNAMA