JAKARTA: Kejayaan Malaysia menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga dengan statistik cemerlang adalah hasil semangat juang dan ikatan erat pemain yang beraksi sebagai sebuah keluarga, kata ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe berkata persembahan Harimau Malaya sepanjang kejohanan yang diadakan kali pertama itu mencerminkan suasana positif dalam kem pasukan apabila semua pemain berkongsi keinginan sama untuk membawa kejayaan buat negara.
“Kejayaan pasukan datang daripada semangat bermain sebagai satu pasukan, sebagai satu keluarga yang ingin dan dahagakan kemenangan. Kita dapat lihat suasana serta ikatan dalam kalangan pemain dan mereka benar-benar menikmati kebersamaan itu.
“Kita bukan sahaja fokus semasa perlawanan (tetapi) pada masa sama kita juga fokus di luar padang, bergaul sebagai satu keluarga yang ada cita-cita besar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan penentuan tempat ketiga antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini malam tadi.
Malaysia menamatkan kempen kejohanan dengan kemenangan 1-0 ke atas Vietnam hasil penyudah penyerang gantian Fergus Tierney pada minit ke-62 sekali gus membantu pasukan negara menamatkan kemarau kemenangan 12 tahun berdepan lawan itu sejak 2014.
Harimau Malaya turut muncul satu-satunya pasukan yang mengakhiri kejohanan tanpa kalah dan tanpa dibolosi, selepas merekodkan tiga kemenangan dan satu seri serta menjaringkan 10 gol.
Pada aksi Kumpulan A Divisyen 1, Malaysia menewaskan Bangladesh 3-0, seri tanpa jaringan semasa berdepan Indonesia dan membelasah Singapura 6-0, namun terlepas peluang mara ke final berdasarkan jumlah jaringan walaupun berkongsi mata dan perbezaan gol dengan pasukan tuan rumah.
Sementara itu, Cheng Hoe mengingatkan perjalanan pasukan negara masih jauh dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membentuk skuad lebih mantap bagi menghadapi cabaran lebih besar.
“Perjalanan kita masih lagi jauh dan masih perlu membentuk pasukan lebih baik pada masa akan datang. Walaupun mendapat kejayaan, untuk kita melangkah lebih jauh, kita perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kita berada di landasan terbaik satu hari nanti,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu.
Dalam pada itu, Indonesia dinobatkan juara edisi sulung Piala ASEAN FIFA selepas menewaskan Thailand yang bermain dengan 10 pemain menerusi penentuan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga tamat 120 minit permainan di GBK.
-- BERNAMA