SINGAPURA: Teknologi semakan badminton dikuasakan kecerdasan buatan (AI) buatan Malaysia, Reveal Lens, membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura 2026, sekali gus menandakan penggunaan pertamanya di luar Malaysia.
Dibangunkan Revealtek Sdn Bhd, Sistem Semakan Segera (IRS) dikuasakan AI pertama di dunia yang diluluskan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu digunakan pada kejohanan yang berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos bagi menyediakan semakan video pantas terhadap keputusan garisan yang dipertikaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Revealtek Nizam Mohamed berkata teknologi itu menyerlahkan potensi teknologi sukan tempatan Malaysia yang semakin berkembang dalam memanfaatkan AI bagi meningkatkan mutu pengadilan dan semakan perlawanan badminton.
“Ia lebih kurang seperti Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunakan dalam bola sepak dan tenis.
“Ia hampir sama, tetapi teknologi ini melangkah lebih jauh dengan membuat keputusan berdasarkan beberapa pengiraan, berbanding hanya memaparkan tayangan semula video,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata Reveal Lens menggunakan sistem tanpa wayar yang boleh dipasang dalam tempoh dua jam, berbeza dengan sistem lebih kompleks yang memerlukan infrastruktur yang banyak serta proses penentukuran yang mengambil masa panjang.
Susulan kejayaan penggunaannya dalam beberapa kejohanan tempatan, Revealtek menerima minat daripada penganjur dan persatuan badminton di Vietnam serta Indonesia dalam usaha memperluas penggunaan teknologi itu di peringkat serantau.
“Kami juga sedang berbincang dengan konfederasi benua. Apa yang kami cuba lakukan adalah menjadikan teknologi ini sebagai satu standard yang boleh diperakui mereka supaya semua persatuan anggota boleh menggunakannya sebagai amalan standard,” katanya.
Nizam berkata Revealtek turut membangunkan modul analitik dan sistem pengadilan garisan yang berfungsi sepenuhnya serta mampu melaksanakan tugas utama hakim garisan semasa perlawanan badminton.
“Kami akan mengadakan demonstrasi pada kejohanan akan datang di Australia pada Oktober,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata syarikat itu mahu memperluas penggunaan AI dan penyelesaian lain yang dibangunkan secara tempatan dalam industri sukan secara lebih menyeluruh, selain terus menyumbang kepada ekosistem teknologi sukan Malaysia.
-- BERNAMA