JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan Pakistan sebagai pasukan pilihan menjelang pertembungan di pentas final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, skuad dari Asia Selatan itu dibarisi pemain yang lebih matang dan ampuh dalam aspek serangan dan gerakan pantas memasuki kawasan D.
"Pakistan pasukan yang bagus dan mereka membawa pemain yang lebih matang berbanding kita. Dari segi kematangan dan kemahiran, mereka amat berbahaya apabila masuk ke kawasan 'D', jadi pemain kita perlu mengekalkan disiplin bertahan yang tinggi esok.
"Kita tidak boleh memboloskan gol mudah atau membiarkan benteng pertahanan 'tertidur' kerana mereka bijak memanfaatkan ruang bola di belakang," katanya pada sidang media selepas perlawanan Malaysia menentang Kanada di Stadium Hoki Johor, di sini, malam tadi.
Skuad Young Tigers menampilkan aksi bergaya apabila membelasah Kanada 6-1.
Mengulas mengenai perancangan taktikal, Nor Saiful berkata, skuad negara akan memperkemaskan benteng pertahanan menerusi marking ketat serta menggunakan khidmat pemain tambahan di belakang.
Ditanya mengenai peluang pasukannya, beliau menilai pertembungan itu sebagai 50-50 memandangkan kedua-dua pasukan mempamerkan prestasi kompetitif dalam siri pertemuan terdahulu, termasuk kemenangan tipis baru-baru ini.
"Peluang tetap 50-50. Kita pernah tewas 4-2 pada saingan Piala Asia Remaja, tetapi kita bangkit menang 3-2 pada perlawanan peringkat kumpulan SOJC baru-baru ini. Kuncinya ialah ketajaman menyempurnakan peluang jaringan dan disiplin ketat menyekat pergerakan Pakistan," katanya.
Beliau turut menjangkakan perlawanan akhir pada 8 malam esok bakal berlangsung dalam intensiti tinggi memandangkan kedua-dua pasukan memiliki corak permainan pantas.
-- BERNAMA