Skip to main content
Advertisement

Sukan

Sukan Asia 2026: Muhammad Azeem fokus rentak sendiri

NAGOYA , 24 Sept - Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi ketika beraksi dalam saringan 100 Meter Lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium hari ini. Pelari berusia 22 tahun itu menamatkan saringan 100 Meter Lelaki sebagai pelari terpantas pada saringan lima dengan catatan 10.17s untuk mara ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok. - fotoBERNAMA
Azeem Fahmi (tengah) ketika beraksi dalam saringan 100m lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Nagoya, 24 Sept 2026. - fotoBERNAMA
Advertisement

NAGOYA: Catatan masa 9.95 saat (s) oleh pencabar utama dari Thailand, Puripol Boonson tidak menggugat fokus jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang memilih untuk kekal dengan rentak sendiri dalam memburu kejayaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pelari berusia 22 tahun itu membuka kempen 100 meter (m) lelaki dengan langkah kanan apabila mengungguli saringan lima selepas mencatatkan 10.17s untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir yang dijadualkan hari ini, di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium.

Muhammad Azeem menyifatkan lariannya semalam sebagai permulaan positif, namun percaya masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi apabila kembali ke trek pada saingan separuh akhir.

“Ia satu perlumbaan yang agak baik. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan hari ini kerana matlamat adalah untuk melaksanakan perlumbaan dengan baik, mara ke separuh akhir dan kembali esok untuk melakukan yang lebih baik.

“Saya hanya mahu lari dengan cara sendiri dan tidak cuba memikirkan apa dilakukan pelari lain,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan saringan semalam.

Puripol satu-satunya pelumba membuat catatan bawah 10s untuk memenangi saringan satu dan muncul antara pelari terpantas ke separuh akhir.

Muhammad Azeem turut berharap cuaca baik mengiringi saingan hari ini bagi membolehkannya beraksi dalam kondisi lebih optimum.

“Harapnya cuaca esok juga baik, tiada hujan dan saya menantikan saingan yang baik esok,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Muhammad Umaira Subri turut melangkah ke pusingan separuh akhir biarpun menamatkan saingan di tempat keempat pada saringan satu dengan catatan 10.43s.

Beliau layak ke separuh akhir menerusi slot enam pelari terbaik di luar kelompok yang layak secara automatik.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement